Sabtu, 8 Julai 2017 | 12:11am

Pelbagai petanda risiko kegagalan jantung

KUALA LUMPUR: Sesak nafas, lesu dan bengkak kaki serta buku lali sering disalah anggap sebagai masalah dihadapi orang tua atau kerana faktor kurang cergas.

Anggapan itu kurang tepat kerana semua masalah berkenaan berkemungkinan besar adalah petanda seseorang itu mengalami kegagalan jantung.

Kegagalan jantung adalah keadaan kesihatan serius kerana jantung tidak berupaya mengepam darah yang mencukupi ke seluruh tubuh disebabkan otot jantung yang lemah.

Kesannya pesakit mudah penat dan letih.

Seterusnya keadaan itu menyebabkan sisa buangan di dalam tubuh tidak dapat dikeluarkan secara sempurna. Kesannya cecair terkumpul di dalam paru-paru serta bahagian tubuh lain seperti kaki serta abdomen.

Profesor Perubatan dan Kardiologi, Naib Pengarah Jabatan Kardiologi, Charite, CVK, Universitaetsmedizin, Berlin, Jerman, Prof Carsten Tschope Charite, berkata kegagalan jantung berlaku sangat perlahan menyebabkannya sukar dikesan.


GAGAL pam darah yang mencukupi ke seluruh tubuh. - Foto hiasan

Batuk kesan pengumpulan cecair pada paru-paru

Pada peringkat awal beliau berkata, pesakit menganggap kesakitan dialami termasuk sakit bahagian belakang biasa sehinggalah diserang sakit dada secara tiba-tiba.

"Hanya selepas keadaan semakin teruk, pesakit mula batuk akibat pengumpulan cecair di di dalam paru-paru. Kaki membengkak kerana penuh air, jantung mula mengepam lemah dan sukar bernafas," katanya.

Katanya, anggapan 20 tahun lalu menyatakan pesakit kegagalan jantung perlu banyak berehat dan tidak melakukan sebarang kerja adalah salah.

Selain ubat, mengamalkan gaya hidup sihat seperti pemakanan rendah kolesterol serta bersenam membantu mengekalkan jantung sihat.

Sementara itu, Ketua Pegawai Klinikal dan Pakar Runding Kanan Kardiologi, Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr Aizai Azan Abd Rahim, berkata usia purata individu di Asia Tenggara diserang kegagalan jantung akut adalah semuda 54 tahun dengan ciri lebih teruk berbanding 75 tahun di negara barat.

Meninggal dunia dalam tempoh lima tahun

Beliau berkata, kegagalan jantung adalah punca utama kemasukan hospital dan lebih membimbangkan, separuh daripada pesakit ini mungkin meninggal dunia dalam tempoh lima tahun.

"Faktor risiko adalah berpunca daripada masalah berat badan berlebihan, tidak aktif secara fizikal, merokok, hiperlipidemia (kolesterol tinggi), hipertensi (tekanan darah tinggi) dan kencing manis," katanya.

Sementara itu, Padmini K Muthusamy, 52, berkata beliau sering keletihan apabila melakukan kerja rumah dan sukar bernafas. Namun ketika itu beliau menganggap keadaan itu mungkin disebabkan penyakit asma dihidapinya.


PADMINI (dua dari kanan) bersama keluarganya, Muhambigai (kiri), Perumal Samy dan Vigneswary (kanan).

Suntikan pelega asma

Pada sebelah malam pula, Padmini batuk sehingga sukar tidur, pening dan muntah-muntah.

"Doktor memberikan suntikan melegakan asma tetapi tidak lama apabila gejala sama berulang terutama nafas terhenti ketika tidur atau dispnea dan kaki mula membengkak.

"Selepas terlantar di hospital selama tiga hari kerana sesak nafas, saya dirujuk ke IJN dan menjalani rawatan sehingga berasa sihat semula," katanya yang disahkan mengalami kegagalan jantung enam bulan lalu.

Info

*Jenis kegagalan jantung;

i. Akut

- Berlaku secara tiba tiba.

- Disusuli serangan jantung.

- Kerosakan teruk di kawasan jantung.

- Pada peringkat awal agak teruk untuk seketika sebelum bertambah baik.ii.

Kronik

- Gejala muncul secara perlahan-lahan.

- Kegagalan jantung kiri bermakna:

Keupayaan mengepam bilik kiri jantung yang membekalkan darah ke seluruh tubuh merosot.

- Bilik kiri perlu bekerja lebih kuat untuk mengepam jumlah darah diperlukan.

*Punca kegagalan jantung:

1. Masalah jantung;

- Kerosakan injap.

- Degupan tidak teratur.

- Kerosakan otot jantung.

- Kerosakan lain jantung.

- Penyakit jantung koronari.

2. Gaya hidup;

- Kegagalan mengambil ubat pencegahan.

- Diet tinggi garam atau pengambilan air berlebihan.

- Alkohol dan merokok.

- Pengambilan dadah.


MENGAMALKAN gaya hidup sihat seperti pemakanan rendah kolesterol serta bersenam membantu mengekalkan jantung sihat. - Foto hiasan

3. Masalah paru-paru:

- Bekalan darah yang tidak mencukupi ke paru-paru.

- Penyakit paru-paru, asma, bronkitis dan sekatan pernafasan.

- Tekanan darah tinggi dalam paru-paru.

4. Penyakit lain:

- Anemia

- Kegagalan buah pinggang.

- Diabetes

- Obesiti

- Nafas tidak teratur ketika tidur.

- Tiroid

- Kesan sampingan ubat.

*Fakta nombor:

*Kekerapan kegagalan jantung mengikut usia:

- 1 peratus usia 65 tahun.

- 7 peratus usia 75-84 tahun.

- 15 peratus usia 85 tahun ke atas.

*Kadar kegagalan jantung di Malaysia:

- 3-20 bagi setiap 1,000 populasi (65 tahun ke atas).

- Boleh mencecah 100 bagi setiap 1,000 populasi.

Berita Harian X