Sabtu, 6 Mei 2017 | 12:17am
BINTIL pada kelopak mata adalah tanda-tanda menunjukkan pengumpulan kolesterol.

Kurus tak kalis serangan jantung

KUALA LUMPUR: Bintil berwarna kuning pada kelopak mata atau kesan putih di bawah mata serta lemak pada siku adalah petanda awal pengumpulan kolesterol yang berisiko diserang penyakit jantung.

Pakar Klinikal Kardiologi, Jabatan Kardiologi Hospital Serdang, Dr Nor Halwani Habizal, berkata tanda fizikal lain iaitu penebalan pada tendon achiilles (atas tumit) pada kaki menunjukkan pengumpulan kolesterol dalam tubuh.

Katanya, pengumpulan kolesterol dalam darah boleh dikesan dengan menjalani pemeriksaan darah.

Selain itu, katanya, jantung berdebar-debar dan dada terasa ditekan juga berkemungkinan petanda berlaku serangan jantung.

"Dada berdebar-debar antara gejala menunjukkan nadi tidak sekata, cepat atau ritma jantung perlu diperiksa. Pemeriksaan lanjut dilakukan bagi memastikan sama ada serangan berlaku khususnya dalam kalangan mereka yang menghidap kencing manis, tekanan darah tinggi (hipertensi) dan berat badan berlebihan (obesiti).

"Serangan jantung berlaku apabila aliran darah ke jantung tersumbat. Ini disebabkan pengumpulan lemak kolesterol dan darah beku," katanya.


DR Nor Halwani Habizal

KOLESTEROL dalam salur darah menyebabkan aliran darah tersumbat.

Dr Nor Halwani berkata, ujian elektrokardiogram (ECG), perlu bertujuan mengesahkan diagnosis adanya berlaku sumbatan pada salur darah arteri jantung.

Sebaik diagnosis dibuat, katanya, pesakit perlu dirujuk menjalani prosedur angiogram atau mendapatkan rawatan secepat mungkin.

"Ada pesakit tidak sempat ke hospital dan maut selepas mengalami serangan. Pesakit boleh pengsan kerana tiada bekalan darah ke seluruh badan termasuk otak kerana pada ketika itu, tiada pengepaman darah dari jantung.

"Pengambilan makanan berkolesterol tinggi, sebagai contoh makanan berminyak menyebabkan pengumpulan kolesterol dan pembentukan ateroma pada salur darah," katanya.

Individu cergas turut berisiko

Punca serangan jantung tidak semestinya disebabkan kegemukan, malah individu yang kelihatan cergas turut mengalami risiko sama kerana mewarisi genetik, masalah jantung serta risiko penyakit kardiovaskular lain.


PENGUMPULAN kolesterol dalam darah boleh dikesan dengan menjalani pemeriksaan darah.

Beliau berkata, sebagai contoh, mereka yang mempunyai sejarah ahli keluarga dengan penyakit jantung, perokok, menghidap diabetes, hipertensi dan kolesterol yang tinggi.

Katanya, gejala serangan jantung ke atas wanita pula berbeza sedikit dengan lelaki, selain tipikal simptom angina, pesakit wanita mengalami sesak nafas, sakit belakang dan diikuti berpeluh dengan banyak dan letih daripada biasa.

INFO
Antara petanda serangan jantung:

- Dada rasa tertekan, ketat atau sakit termasuk pada bahagian lengan sehingga leher, rahang dan belakang diikuti simptom:

- Loya, masalah penghadaman, pedih hati atau sakit abdomen.

- Sukar bernafas.

- Berpeluh

- Keletihan

- Pening.


SAKIT pada bahagian dada petanda serangan jantung.

Rawatan:

1. Percutaneus Coronary Intervention menggunakan stent, belon atau aspiration catheter (alat penyedut darah beku).

2. Ubat pencair darah:

- Perlu dimakan seumur hidup.

- Makan ubat mengikut jadual dan tidak boleh berhenti tanpa nasihat doktor.

Kesan sampingan:

-Alahan seperti gatal pada kulit.

Risiko serangan berulang:

- Diabetes tidak terkawal.

- Tekanan darah tinggi

- Kolesterol tinggi

- Obesiti

Berita Harian X