Khamis, 17 Ogos 2017 | 9:22am
- Gambar hiasan

Anak muda perlu proaktif, bertanggungjawab

Perubahan adalah hashtag yang seringkali menjadi kayu ukur generasi muda yang mahu ubah landskap politik negara. Banyak pihak menyuarakan serta menuntut hak pembaharuan dalam perubahan yang perlu dilaksanakan kerajaan. Perlu sedar, perubahan berlaku dalam pelbagai bentuk dan tahap. Ada perubahan yang kecil dan lazim. Ada juga perubahan lebih besar dan menyeluruh. Perubahan yang datang sekali dalam beberapa generasi.

Inilah bentuk perubahan yang sedang kita saksikan. Berdasarkan lipatan sejarah pembinaan tamadun manusia, ada beberapa detik yang merakam perubahan didasari oleh peralihan generasi. Peralihan generasi ini berlaku apabila sesuatu perubahan atau transformasi itu tidak hanya terbatas kepada pengenalan dasar baharu atau muka baharu.

Ia juga adalah suatu kedatangan era yang menyaksikan munculnya pemimpin muda berwawasan yang memperjuangkan perubahan melangkaui zaman mereka, iaitu perubahan yang menguburkan norma lapuk yang sudah lama berakar umbi dalam masyarakat. Pemimpin muda ini lahir dari kalangan generasi pascamerdeka yang mempunyai iltizam serta semangat kepemimpinan tinggi dalam menggalas tanggungjawab menerajui negara pada masa akan datang. Merekalah yang bakal menggantikan kepemimpinan sedia ada dalam satu pengaliran generasi.

Mereka harus bertindak sebagai kumpulan masyarakat yang aktif, proaktif dan peduli terhadap pembangunan semasa negara dan bertanggungjawab bagi menjamin kelangsungan negara secara lestari. Sungguhpun begitu, generasi ini dibebani cabaran dalam menerajui Malaysia dengan pelbagai ancaman luar. Mereka perlu bangkit untuk survival politik di Malaysia demi kesejahteraan rakyat berbilang bangsa dan agama.

Generasi ini perlu menggerakkan perubahan dan mencorak hala tuju perjalanan negara. Sehubungan itu, mereka perlu diperkukuh dengan kemantapan budaya dan ketinggian nilai kehidupan agar generasi terbentuk pada masa depan mampu menghadapi cabaran sezaman.

Walaupun begitu, kita melihat sendiri generasi yang lahir hari ini mengalami krisis jati diri dan visi hidup semakin membimbangkan. Gejala kemelesetan visi hidup ini menyebabkan lunturnya perjuangan manusiawi di muka bumi ini, iaitu mempertahankan yang hak, menolak yang mungkar.

Dilimpahi kemakmuran

Rata-rata generasi ini lahir dalam kemewahan dan kemakmuran yang kerajaan bina sepanjang 60 tahun ini. Dalam konteks pembangunan dan kejayaan negara, mereka memiliki obligasi bagi memastikan keadilan dan pembangunan sosial beretika, meninggalkan serangan budaya Barat yang menyahkan jati diri dalam memperjuangkan kemajuan berlandaskan prinsip demokrasi. Jika generasi ini jauh dari sikap dan perjuangan berprinsip dan bervisi, mereka akan larut dengan bentuk budaya baharu mementingkan sensasi yang menerapkan sikap individualisme dan protes.

Apa yang membimbangkan senario masyarakat sekarang khususnya pada generasi pascamerdeka ini adalah mudah terpengaruh dengan fahaman politik songsang, iaitu mereka sendiri tidak memahami ideologi berkenaan. Sebagai ejen yang menjadi pemacu kejayaan negara, adalah lebih elok dititikberatkan perpaduan berbanding mengundang perpecahan disabitkan ideologi politik.

Kumpulan anak muda berbaju merah, baru-baru ini dalam insiden membaling kerusi dan botol air dilihat sebagai suatu hal yang membimbangkan. Mereka dilihat kian menjadi aktivis dalam misi pemberontakan yang mahu mengubah geopolitik negara tanpa memahami misi perjuangan dan lebih dilihat sebagai tindakan ikut perasaan. Ramai dari kalangan mereka turun padang bagi menunjukkan sokongan. Namun, perjuangan apakah yang dilakukan itu?

Generasi ini perlu kembali untuk memahami sejarah dan perkembangan negara. Ini penting sebagai kayu pengukur dan pemangkin dalam menyumbangkan khidmat dan bakti kepada negara tercinta. Tanpa memahami akan perkembangan negara dan buta sejarah, mereka akan terus hanyut dibawa arus kesenangan hidup yang melalaikan. Generasi ini perlu bijak menggunakan akal. Akal bukan di jalanan tetapi di otak.

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Komunikasi & Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Melaka

316 dibaca
Berita Harian X