Sabtu, 12 Ogos 2017 | 7:20am

Umat sejahtera jika fahami fiqh aulawiyyat

Benarkah hanya satu jemaah yang selamat? Ini persoalan lama dari dahulu hingga kini beranggapan bahawa hanya jemaah mereka yang selamat dan jemaah lain semua salah dan sesat. Sikap ini antara lain disebabkan pemahaman mereka terhadap hadis popular yang bermaksud:

"Umatku akan berpecah kepada 73 golongan, yang selamat satu sahaja, yang bakinya binasa. Baginda ditanya: Siapakah yang selamat? Baginda bersabda: Ahli al-Sunnah wal-Jamaah. Baginda ditanya: Apa itu al-Jamaah? Baginda bersabda, ia adalah golongan yang mengikuti jejakku dan jejak sahabatku. (Riwayat Tirmizi).

Ada pendapat daripada kalangan mereka yang berpandangan sempit, menganggap hanya jemaah mereka yang selamat, manakala mereka yang berpandangan luas berpendapat banyak jemaah yang selamat kerana mereka mengikut Rasulullah SAW dan kerana mereka Ahli al-Sunnah wal-Jamaah.

Syeikh Abdul Halim Mahmud (1910-1978), bekas Syeikh al-Azhar (1973-1978) menyatakan dalam bukunya al-Tafkir al-Falsafi fi al-Islam bahawa hadis yang berbicara mengenai jemaah umat Nabi Muhammad SAW itu tidak diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang diakui ketelitian mereka menilai riwayat hadis. Ini bererti, hadis itu belum tentu sahih kerana ada riwayat lain yang bermaksud:

"Akan ada kumpulan umatku hingga mencapai 70 lebih kumpulan. Semuanya masuk syurga kecuali satu kumpulan." Hadis ini diriwayatkan oleh Ibn al-Najjar dan dinilai sahih oleh al-Hakim. Selanjutnya dalam riwayat al-Dailami, ada hadis yang menyebut 'yang binasa daripada kumpulan itu hanya satu.'

Banyak jemaah

Pada pandangan sesetengah ulama, riwayat ini lebih sesuai ditonjolkan hari ini kerana banyak jemaah umat Islam. Pandangan sebegini bukan mempertikaikan kesahihan hadis pertama, namun pandangan hadis kedua memberi ruang keterbukaan kepada kepelbagaian jemaah selagi tertakluk dalam akidah Islamiah.

Penelitian menerusi media sosial dan media massa, ramai suka memperbesarkan perkara kecil dan tuduhan dilempar tanpa dikemukakan sebarang bukti yang boleh mengelirukan rakyat. Persoalan zikir selepas solat, talkin di kubur, bacaan surah Yasin beramai-ramai pada malam Jumaat, sembahyang Tarawih lapan atau 20 rakaat, mahupun persoalan selawat antara solat Tarawih dan seumpamanya.

Perbezaan pandangan dalam isu sebegini dibincangkan sejak dahulu, tetapi kembali menjadi topik perbalahan sesama sendiri hari ini. Situasi ini membuatkan umat hilang fokus terhadap isu sebenar yang harus dibincangkan. Kita perlu memahami apakah fiqh aulawiyyat iaitu perkara keutamaan berbanding isu remeh.

Jika mendalami ilmu agama, ada membincangkan mengenai al-Firaq al-Islamiyyah iaitu golongan yang masih dalam bingkai atau lingkungan mazhab Islam, juga digariskan dalam kitab al-Milal wa-Nihal ada golongan yang bertepatan dengan agama Islam dan bertentangan perintah syariat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan janganlah kamu menjadi serupa dengan yang berpecah dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang yang mendapat seksa yang berat." (Surah Aal al-Imran:105).

Agamawan sepatutnya tidak berkelahi sesama sendiri atau berlumba-lumba menjadi juara mengeluarkan idea masing-masing dan perlu menerima perbezaan pendapat antara satu sama lain. Agamawan tidak sepatutnya berkelahi di tempat awam, menjadi juara dengan idea yang dirasakan betul, sedangkan perkara itu hanya khilafiyah (perbezaan pandangan).

Kita perlu lebih senang mengatakan jemaah Islam ini semuanya betul. Meskipun pelbagai kumpulan, mereka membawa kesetiaan yang tidak berbelah bahagi terhadap Islam dan Rasulullah SAW. Semua pihak tidak perlu ungkit ciri-ciri kebenaran dan kebatilan sesuatu kumpulan atau menghukum siapa benar dan siapa salah.

Jika orang kafir dimasukkan ke neraka, wajar kerana kekafiran mereka. Sementara jemaah dalam Islam, semuanya terdiri daripada individu yang mengesakan Allah SWT, mencintai Rasul SAW dan paling minimum mengucap dua kalimah syahadah. Pengucapan ini sudah cukup untuk masuk syurga seperti diriwayatkan Bukhari dan Muslim, sesiapa mengucap kalimah tauhid, nescaya masuk syurga.

Jalan ke syurga berbeza

Atas pertimbangan ini semua umat Islam masuk syurga. Hanya jalan kemasukan berbeza antara satu sama lain. Sesetengah masuk syurga tanpa hisab, ada pula menerusi hisab, melalui syafaat nabi, malaikat dan rakan yang baik, bahkan ada yang masuk syurga dengan rahmat dan keampunan Allah SWT, yang terakhir sekali ada yang masuk syurga selepas sekian lama diazab.

Perpecahan dalam masyarakat Islam timbul kerana tidak meraikan kepelbagaian firqah atau kumpulan jemaah umat Islam. Ramai menganggap kumpulan mereka sahaja yang betul hingga timbul kekeliruan sesama Islam dan menyempitkan pandangan dalam bilangan jemaah Islam. Semua pihak seharusnya meraikan keterbukaan berorganisasi dalam kepelbagaian jemaah umat Islam, sekali gus membawa manhaj perpaduan dan kesederhanaan.

Umat Islam perlu bijak dan matang menghadapi pelbagai pihak sama ada parti politik, mazhab akidah, mazhab fiqh, golongan ekstrem, mahupun puak liberal. Al-Quran dan sunnah perlu dilihat lebih luas daripada mazhab dan golongan berkenaan. Islam menerima keterbukaan dan kebaikan serta mencari penyelesaian untuk kebaikan bersama. Setiap individu perlu merujuk kepada pihak yang berautoriti dan menyaring perkara bertentangan dengan prinsip Islam dan nilai murni dalam kehidupan.

Berita Harian X