Isnin, 17 Julai 2017 | 7:51am

'Perjanjian London' antara Dr Mahathir dan Nurul Izzah?

APABILA gabungan parti pembangkang bersetuju dan kemudian mengumumkan barisan kepemimpinan baharu, timbul persoalan apakah yang sebenarnya dicapai di sebalik pengumuman itu?

Apakah ada kaitan dengan pertemuan Nurul Izzah Anwar dengan Tun Dr Mahathir Mohamad di London, baru-baru ini? Sehingga kini, tiada pendedahan dibuat sama ada oleh anak perempuan Datuk Seri Seri Anwar Ibrahim itu atau oleh Dr Mahathir sendiri mengenai hasil pertemuan berkenaan.

Cuma yang kita tahu dan mungkin juga tidak diberitahu secara umum ialah persetujuan Dr Mahathir untuk dilantik selaku pengerusi gabungan pembangkang dan ini juga mungkin bermakna persetujuan PKR dan ahli keluarga Anwar untuk bekas musuh ketat mereka itu mengetuai pembangkang, dengan syarat tertentu? Seterusnya, Anwar pula dilantik sebagai Ketua Umum @ Perdana Menteri (PM) Ke-8 dan isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail atau Nonaku Azizah merangkap Presiden @ PM Ke-7, mengikut skrip gabungan itu. Umum mengetahui Dr Mahathir yang berada di pentas ketika kongres nasional tahunan PKR di Shah Alam Mei lalu, dikatakan tidak memegang poster tertera 'Anwar PM Ke-7'.

Pada mulanya (21 September 2016), Dr Mahathir menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk jawatan PM dan bila ada cadangan Anwar dijadikan PM Ke-7, Dr Mahathir tiba-tiba menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan kembali memegang jawatan PM. Kemudian isu Anwar Free Anwar Now (Bebaskan Anwar Sekarang) atau petisyen pembebasan Anwar.... apakah Dr Mahathir benar-benar serius? Sudah terpahat dalam memoir Dr Mahathir yang tidak pernah ditarik kembali, iaitu memecat Anwar pada 1998 adalah tindakan tepat dan bukan satu kesilapan, selain memenjarakan Anwar.

Apakah semua itu silap yang memerlukan Dr Mahathir menarik balik semua tuduhan itu? Apakah ada yang tersirat serta persetujuan tertentu pada pertemuan 'beraya' Nurul Izzah dengan Dr Mahathir di Kota London mengenai isu ini? Dalam wawancara akhbar mingguan The Edge Malaysia (keluaran 19-25 Jun) bertajuk Run-Up to GE 14 (Menjelang PRU-14), Nurul Izzah, walaupun mengakui tidak pernah membenci Dr Mahathir dan hanya membenci tindakan beliau, masih mengulang-ulang hakikat Dr Mahathir memerintah secara kuku besi walaupun setelah PKR kini berbaik dengan PPBM. Bulan lalu, apabila Anwar mengumumkan untuk menolak jawatan PM jika pembangkang berjaya menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), ia sekadar untuk meredakan keadaan kerana hakikatnya, beliau tidak boleh kerana kekangan perundangan.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun kerana kesalahan meliwat tetapi hanya boleh bertanding pada PRU selepas 2023, iaitu lima tahun setelah menjalani hukuman dikenakan terhadapnya.

2970 dibaca
Berita Harian X