;
Khamis, 17 Mei 2018 | 5:32pm
Chow Mei Kuan.

Mei Kuan sandaran skuad Piala Uber

SEPANG: Pemain beregu wanita negara, Chow Mei Kuan harus menjadi senjata rahsia skuad Piala Uber negara dalam kempen di Bangkok, bermula Ahad ini berdasarkan keupayaannya bergandingan dengan sesiapa sahaja.

Malah, penyenaraian pemain kelahiran Kuala Lumpur berusia 23 tahun itu diyakini bakal memudahkan tugasan ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak untuk mencatur strategi sebelum menentang Indonesia, China dan Perancis dalam saingan Kumpulan D. 

Mei Kuan sebelum ini berjaya mencipta sejarah peribadi tersendiri apabila meraih pingat emas Sukan Komanwel beregu wanita ketika bergandingan bersama Vivian Hoo di Gold Coast, bulan lalu dan mara ke perlawanan akhir Siri Antarabangsa Vietnam walaupun kedua-duanya hanya baru saja berlatih bersama. 

Sebelum itu, Mei Kuan diberikan tugas khas membimbing pemain muda, Goh Yea Ching selepas Meng Yean terpaksa berehat tiga bulan berikutan kecederaan lutut dan tugas itu disempurnakan dengan mudah apabila mencatat rekod kemenangan 100 peratus dalam Kejohanan Berpasukan Asia (kelayakan Piala Uber). 

"Saya memang teruja beraksi dalam saingan Piala Uber kali ini. Ini disebabkan acara berpasukan sangat berbeza dengan individu. Semua pasukan dan pemain akan sentiasa memberi sokongan antara satu sama lain tidak kira menang atau kalah," kata Mei Kuan. 

Ditanya mengenai kemampuannya mampu bergandingan dengan sesiapa saja, Mei Kuan mengakui sendiri ia adalah satu kelebihan buat dirinya. 

"Pemain lawan sekarang ini belum tahu lagi siapa yang akan turun beraksi dalam beregu. Kami pula sudah bersedia untuk digandingkan dengan sesiapa saja dan strategi kami ini lebih kepada untuk mencari kemenangan," kata Mei Kuan. 

Mei Kuan yang pernah beraksi di Piala Uber dua tahun lalu di Kunshan, China juga mengharapkan pengalaman itu mampu membantunya.

187 dibaca
Berita Harian X