Khamis, 17 Mei 2018 | 5:11pm
KETUA jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek ditemui media di klia2 sebelum berlepas ke Bangkok. - Foto Owee Ah Chun

Hajat 'terakhir' Misbun

SEPANG: Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek memasang impian untuk melihat trofi keramat Piala Thomas kembali ke pangkuan Malaysia sekali gus menamatkan kemarau 26 tahun sebelum beliau mengundurkan diri.

Misbun, bekas pemain perseorangan negara, tidak menolak kemungkinan edisi Piala Thomas kali ini adalah pembabitan terakhir buat dirinya bersama pasukan kebangsaan bagi kejohanan itu yang akan berlangsung selama lapan hari bermula Ahad ini di Bangkok, Thailand.

"Ya, mungkin terakhir. Sebab itu saya harapkan kejutan dapat dicipta pasukan negara. Walaupun pada ketika tidak menjadi jurulatih, setiap edisi Piala Thomas sudah semestinya hasrat saya adalah ke arah itu, melihat Malaysia muncul juara.

"Dengan persiapan yang kita telah jalankan sepanjang beberapa bulan lalu, saya lihat pasukan kini berada dalam keadaan yang bersemangat. Saya berharap semua pemain perseorangan mahupun beregu mampu bergabung bagi merealisasikan impian menamatkan kemarau 26 tahun tanpa kejuaraan," katanya.

Beliau ditemui pemberita di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (klia2) sebelum berlepas ke Bangkok bersama pasukan di sini hari ini.

Skuad Piala Thomas kali ini diketuai jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei bersama pemain muda, Lee Zii Jia, Iskandar Zulkarnain Zainuddin dan Leong Jun Hao.

Beregu lelaki dibarisi Goh V Shem-Tan Wee Kiong, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, manakala Teo Ee Yi akan bergandingan dengan pemain profesional Mohd Arif Latif.

Dalam pada itu, mengulas mengenai saingan skuad negara yang akan dicabar juara bertahan Denmark, Russia dan Algeria dalam Kumpulan D, Misbun berkata ia satu tugas yang berat meskipun Malaysia dijangka mudah melangkah ke pusingan suku akhir.

Malaysia memulakan kempen dengan menentang Russia pada Isnin ini kemudian bertemu Algeria (Selasa) dan melengkapkan perlawanan peringkat kumpulan menentang Denmark pada Rabu.

"Saingan kali ini nampak mudah tetapi hakikatnya ia satu tanggungjawab yang berat. Setiap negara pasti akan membariskan pemain terbaik mereka untuk muncul juara edisi kali ini," kata Misbun.

Untuk rekod, Malaysia dikejutkan Denmark 2-3 dalam aksi separuh akhir edisi 2016 di Kunshan, China, sekali gus gagal mengulangi pencapaian melangkah ke final pada edisi 2014 di New Delhi, India. - BERNAMA

2190 dibaca
Berita Harian X