Selasa, 17 April 2018 | 4:32pm
NOVAK Djokovic menewaskan rakan senegara dari Serbia, Dusan Lajovic pada pusingan pertama Master Monte Carlo, semalam. - Foto AFP

Djokovic kembali temui prestasi terbaik

MONTER CARLO (Monaco): Bekas pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic menunjukkan tanda dia sudah kembali ke prestasinya apabila membenam rakan senegara dari Serbia, Dusan Lajovic 6-0, 61 pada pusingan pertama Master Monte Carlo, semalam.

Ia adalah prestasi mengagumkan buat pemain berumur 30 tahun itu dalam perlawanan pertamanya sejak berpisah dengan jurulatih, Andre Agassi dan mula bekerja sama semula dengan jurulatih lamanya, Marian Vajda.

Djokovic berada di ranking 13 dunia selepas lama meninggalkan gelanggang akibat kecederaan siku kanan dan menegaskan dia tidak boleh 'melakukan servis'.

"Kesakitan itu adalah faktor utama yang memberi kesan terhadap keadaan saya secara keseluruhan, pemikiran saya," kata Djokovic.

"Banyak perkara yang terpaksa diketepikan, memandangkan siku masih belum sembuh.

Tetapi hari ini, anda tahu, (saya) bebas daripada kesakitan,"

Djokovic berlatih bersama Vajda selama 10 hari menjelang kejohanan itu, selepas berpisah dengan jurulatih dari Slovakia itu selepas berakhirnya kejohanan Master Monte Carlo, tahun lalu.

"Saya sangat gembira apabila dia (Vajda) adalah lebih daripada seorang jurulatih. Dia lebih daripada seorang abang, seorang ayah," katanya.

"Realitinya adalah saya bermain enam atau tujuh perlawanan sejak Julai lalu. Saya kekurangan perlawanan dan mempunyai sedikit keyakinan di gelanggang. Tetapi saya tidak sabar untuk teruskan."

Djokovic mendominasi daripada awal dalam perlawanan menentang Lajovic yang nampak bergelut.

Meskipun mengharungi beberapa detik mendebarkan pada servis di set kedua, dia tetap berjaya menjulang kemenangan dalam masa kurang daripada sejam, bagi memastikan kemaraan bertemu Borna Coric dalam pusingan kedua. - AFP

 

 

190 dibaca
Berita Harian X