Rabu, 14 March 2018 | 10:57am
JUAN MARTIN DEL POTRO

Del Potro benam Ferrer, Cilic turut tersingkir

INDIAN WELLS, Amerika Syarikat: Pilihan keenam, Juan Martin Del Potro meneruskan dominasi ke atas David Ferrer apabila menewaskan pemain Sepanyol itu 6-4, 7-6 (7/3) untuk mara ke pusingan empat Terbuka BNP Paribas, hari ini.

Del Potro, 29, bukan saja memperbaiki rekod kemenangannya kepada 7-6 ke atas Ferrer tetapi sudah memenangi lima perlawanan berturut-turut sejak suku akhir Wimbledon pada 2013.

"Kami sentiasa bermain perlawanan yang sukar. Saya bertuah," kata pemain nombor lapan dunia, Del Potro.

"Saya bermain dengan amat baik di tiebreak dan melakukan servis dengan baik pada masa yang penting."

Lawan jaguh dari Argentina itu di peringkat seterusnya adalah rakan senegara, Leonardo Mayer yang sebelum itu menyingkirkan pemain kelayakan dari Jepun, Taro Daniel 6-4, 6-1.

Del Potro yang kembali menghuni ranking 10 terbaik dunia Januari lalu, tampak masih segar dengan kejuaraan yang diraihnya awal bulan ini di Acapulco dan berharap untuk mengulanginya di Indian Wells.

"Salah satu impian saya adalah untuk memenangi kejohanan ini. Saya pernah berada di final dan separuh akhir tapi tidak pernah memenangi trofi," kata Del Potro.

Sementara itu, pemain nombor tiga dunia Marin Cilic menjadi pemain pilihan yang turut tersingkir apabila tewas kepada pemain Jerman, Philipp Kohlschreiber 4-6, 4-6.

Cilic, 29, melangkah ke final dua daripada tiga aksi Grand Slam terakhir tetapi kekalahan di Indian Wells menyaksikan rekod perlawanan pada musim ini bertambah buruk kepada 10-4.

"Saya berasa hebat. Saya bermain dengan agresif. Saya fikir pada masa yang penting atau mata yang besar, saya benar-benar memanfaatkannya," kata Kohlschreiber.

"Saya fikir satu lagi faktor adalah kerana ia kemenangan dalam dua set."

Dalam satu lagi aksi pusingan tiga, pemain nombor satu Kanada, Milos Raonic menewaskan pemain Portugal, Joao Sousa 7-5, 4-6, 6-2. - AFP

273 dibaca
Berita Harian X