Ahad, 11 March 2018 | 3:02pm
NG EAIN YOW

Eain Yow tumpu latihan dalam negara

KUALA LUMPUR: Dengan berbaki kurang daripada sebulan menjelang Sukan Komanwel di Gold Coast, pemain skuasy lelaki negara, Ng Eain Yow kini memberi tumpuan penuh latihan di dalam negara.

Pemain berumur 20 tahun yang menjalani latihan di bawah bimbingan Andrew Cross itu berkata banyak yang perlu diperbaiki terutama selepas baru pulang daripada menyertai Terbuka Windy City di Amerika Syarikat pada 20-28 Februari lalu.

"Saya baru kembali dari Amerika Syarikat dan banyak yang saya pelajari ketika di sana.

"Selepas ini saya tidak akan menyertai sebarang kejohanan lagi bagi memberi ruang kepada latihan dan fokus untuk Sukan Komanwel nanti. Saya harap semuanya akan berjalan lancar," katanya yang kini berada di ranking 47 dunia.

Pemain muda itu yang berjaya meletakkan dirinya dalam kelompok 50 terbaik dunia selepas hanya 18 bulan merangkul gelaran dunia remaja, Eain Yow meletakkan sasaran tinggi buatnya pada temasya di Gold Coast nanti.

"Biarpun ini adalah kali pertama saya menyertai temasya yang besar, misi saya adalah untuk menewaskan pemain yang ada nama besar jika mempunyai peluang.

"Saya mahu kehadiran saya kali ini memberi kesan yang besar dan meletakkan sasaran berada di kedudukan empat terbaik dan mungkin menghasilkan pingat buat negara," katanya yang memenangi pingat emas acara perseorangan di Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur pada Ogos lalu.

Eain Yow yang akan menyertai acara perseorangan dan beregu di Gold Coast kali ini, berkata dia kini memberi tumpuan kepada gandingannya bersama Syafiq Kamal yang diharapnya akan membuahkan hasil nanti.

Terpilih sebagai penerima Biasiswa Akademi Skuasy CIMB bersama S Sivasangari buat julung kalinya, Eain Yow bagaimanapun masih belum memikirkan tentang perancangan terperinci melanjutkan pengajian kerana ingin memberi tumpuan kepada Sukan Komanwel dan Sukan Asia di Indonesia.

"Saya bersyukur dipilih sebagai penerima biasiswa namun saya kini memberi tumpuan dalam latihan sepenuh masa sehingga Sukan Asia dan selepas itu barulah saya membuat keputusan," katanya.

ends

439 dibaca
Berita Harian X