;
Sabtu, 20 Januari 2018 | 12:27pm
PEMAIN tenis Australia, Nick Kyrgios ketika aksi menentang pemain Perancis, Jo-Wilfried Tsonga. - Foto REUTERS

Agassi minta Kyrgios cari jurulatih

MELBOURNE: Legenda tenis, Andre Agassi menyarankan supaya pemain Australia, Nick Kyrgios mendapatkan seorang jurulatih bagi menyerlahkan lagi bakatnya dan percaya ramai individu yang bersedia untuk membantu.

Pemain berusia 22 tahun itu menunjukkan kematangan tinggi di Terbuka Australia walaupun kerap dikritik kerana panas baran.

Tetapi legenda Amerika Syarikat itu yang pernah membimbing juara Grand Slam 12 kali, Novak Djokovic memberitahu akhbar Melbourne Age bahawa beliau percaya Kyrgios masih mampu membantu dirinya sendiri.

"Saya seorang yang mempunyai keyakinan diri dan apa yang saya pelajari ialah, belajar sesuatu untuk tempoh 10 minit akan menuntut masa selama 10 tahun sebelum seseorang itu benar-benar memahaminya," katanya.

"Untuk menghadapi semuanya dan belajar menerusi pengalaman adalah sesuatu yang tidak begitu tepat. Tetapi jauh lebih baik berbanding anda memiliki jurulatih yang salah."

Kyrgios yang diletakkan selaku pemain pilihan ke-17, sudah memaklumkan bahawa dia tidak berhasrat untuk mendapatkan khidmat jurulatih musim ini.

Setakat ini, dia mempamer aksi membanggakan di Melbourne Park dan melangkah ke pusingan keempat selepas menundukkan Jo-Wilfried Tsonga semalam.

Ujian berikutnya ialah dia akan menentang pemain nombor tiga dunia, Grigor Dimitrov esok sebelum ke suku akhir sekali gus menyamai catatan terbaiknya di Grand Slam.

"Saya dapat bayangkan, ramai individu yang akan tampil melatihnya kerana dia benar-benar berbakat," kata Agassi yang pernah memenangi lapan Grand Slam.

"Jika saya menjadi dirinya, saya akan duduk memikirkan siapa yang layak mengajar sesuatu yang saya tidak ada." - AFP

223 dibaca
Berita Harian X