Jumaat, 12 Januari 2018 | 11:55am
PEMAIN Amerika Syarikat, Coco Vandeweghe terkenal dengan gaya permainan agresif dan personaliti sebarangan berusaha mencari gelaran sulung grand slam di Terbuka Australia.

Vandeweghe cari gelaran sulung di Melbourne

MELBOURNE: Coco Vandeweghe merasakan salah faham terbesar mengenainya ialah dia kelihatan sombong tetapi pemain Amerika Syarikat itu tidak akan membiarkan ia menjadi halangan dalam usahanya mencari gelaran sulung grand slam di Terbuka Australia.

Pemain yang dua kali mara ke separuh akhir grand slam itu terkenal dengan gaya permainan agresif dan personaliti sebarangan, akan memperoleh peluang seterusnya bagi meraih gelaran pada Terbuka Australia 15-28 Januari ini.

"Saya tidak melihat diri saya sombong ketika berada di sekeliling orang lain atau ketika hanya berjalan, tapi saya kerap kali dikata sombong. Dan itu yang saya tidak faham," kata pemain nombor 10 dunia itu kepada ESPN, semalam.

"Saya rasa ia tidak hebat. Namun pada penghujungnya, saya tidak pernah kisah mengenai apa yang orang kata mengenai saya atau membiarkan ia memberi kesan kepada saya....

Ketika saya berusia 13 atau 14 tahun, ia merisaukan saya apabila orang mengata saya, sama seperti orang lain. Tapi saya tahu siapa diri saya."

Vandeweghe, yang mara ke separuh akhir Terbuka Australia dan Amerika Syarikat pada 2017, mula bekerjasama dengan jurulatih Australia, Pat Cash Jun lalu dan memuji bekas juara Wimbledon itu membantunya mengubah tingkah laku.

Selepas Vandeweghe tewas pada suku akhir Wimbledon, Cash meyakinkannya untuk terus berada dim situ ketika pemain lain mencapai kemenangan, dan kini pemain berusia 26 tahun itu berharap muslihat itu boleh memberikannya kejayaan di Melbourne.

"Saya biasanya meninggalkan kejohanan dengan penerbangan paling awal jika tewas pada grand slam," kata Vandeweghe.

"Tetapi dia mengajak saya untuk terus kekal. Ia seperti dia meletakkan garam pada luka. Dia terus membiarkan saya di sana, dan saya masih berlatih, dan saya melihat semua pemain ini menang, dan saya masih boleh dengar penonton dan melihat stadium. Saya di sana sehingga final.

"Melihat kembali perkara itu, saya boleh katakan ia adalah motivasi, tetapi pada ketika itu, saya seperti, 'saya benci setiap saat di sini'. Dia seperti suka bermain permainan minda Jedi terhadap saya." - REUTERS

130 dibaca
Berita Harian X