Khamis, 11 Januari 2018 | 10:14am
AKSI Roger Federer (kanan) bersama rakan pada sesi latihan menjelang Terbuka Australia minggu depan. - Foto Reuters

Federer pilihan utama: McEnroe

MELBOURNE: Roger Federer menjadi pilihan utama kejohanan seterusnya mengekalkan kejuaraan Terbuka Australia bermula Isnin depan, menurut penganalisis tenis.

Misi Federer untuk meraih grand slam ke-20 tampak lebih mudah dengan ketiadaan Andy Murray dan Kei Nishikori dan masalah kecederaan yang menimpa pemain utama, Rafa Nadal dan Stan Wawrinka.

Kelebihan memihak Federer selepas pemain berusia 36 tahun itu mempamerkan prestasi cemerlang dalam Piala Hopman bulan ini. Dia menang semua empat perlawanannya sekali gus membantu Switzerland menjulang kejuaraan buat kali ketiga.

"Dia sentiasa nampak muda dan bertenaga," kata penganalisis tenis ESPN dan bekas pemain profesional, Patrick McEnroe kepada wartawan hari ini.

"Pergerakannya menarik dan pukulannya hebat. Menang empat atau lima perlawanan di Piala Hopman menjadi bukti kemampuannya. Pada saya, dia tetap pilihan utama."

"Berdasarkan pemerhatian saya, tiada pemain lain yang boleh dijadikan pilihan utama selain Roger ketika ini," kata McEnroe.

Menurut bekas pemain nombor satu wanita, Chris Evert, pengalaman dan ketenangan Federer menyebabkan dia jarang ditimpa kecederaan.

"Federer sangat relaks sekali gus menguatkan mental dan fizikalnya. Saya fikir dia nikmati setiap perlawanannya. Itu yang membezakan Federer dengan pemain lain," katanya.

Terbuka Australia berlangsung dari 15-28 Januari ini. - Reuters

307 dibaca
Berita Harian X