Khamis, 11 Januari 2018 | 1:19am
BEKAS pakar beregu negara, Datuk Seri Jalani Sidek harap Soon Kit perlu bijak atur strategi bagi memastikan anak buahnya mampu menyumbang mata ketika Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, bulan depan. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Kebijaksanaan Soon Kit catur strategi bakal diuji

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih beregu lelaki, Cheah Soon Kit perlu bijak mengatur strategi bagi memastikan anak buahnya mampu menyumbang mata ketika Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, bulan depan.

Bekas pakar beregu negara, Datuk Seri Jalani Sidek, berkata sandaran kini diletakkan dalam acara beregu bagi menghadiahkan dua mata sekali gus kebijaksanaan Soon Kit sudah pasti akan diuji.

Katanya, gandingan pecahan mampu menjadi senjata utama biarpun sandaran diletakkan ke atas Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang digandingkan semula bagi memastikan Malaysia layak ke pusingan akhir Piala Thomas 2018.

"V Shem-Wee Kiong yang dipisahkan sebelum ini pernah bergandingan dengan satu lagi beregu yang disenaraikan iaitu Teo Ee Yi-Ong Yew Sin. Jadi, bukan sesuatu yang mustahil untuk mereka dipisahkan dan digandingkan dengan salah seorang pemain itu kembali.

"Semua itu bergantung kebijaksanaan Soon Kit berdasarkan lawan yang dihadapi. Jika Soon Kit merasakan menurunkan gandingan pecahan mampu memberi peluang yang tinggi buat pasukan mencatat kemenangan, jadi ia bukan satu masalah.

"Tidak dinafikan, gandingan pecahan mampu menjadi senjata utama pasukan negara. Cuma, Soon Kit perlu membuat persiapan terbaik dalam menghadapi setiap situasi," kata Jalani yang membantu Malaysia muncul juara Piala Thomas 1992 di Kuala Lumpur.

Berdasarkan situasi yang melanda acara perseorangan lelaki, Malaysia tidak mempunyai pilihan selain mengharapkan acara beregu mampu menyumbangkan dua mata dan satu mata lagi menerusi Datuk Lee Chong Wei.

Berdasarkan ranking, Ee Yi-Yew Sin yang menghuni kedudukan ke-23 dunia akan menggalas tugas selaku beregu pertama manakala V Shem-Wee Kiong yang menduduki tempat ke-29, kedua.

"Apa yang saya lihat pemain yang disenaraikan adalah yang terbaik kita ada ketika ini. Jika acara perseorangan lelaki dapat menyumbang dua mata ia boleh dianggap bonus buat pasukan," kata Jalani.

Pemain lain yang turut disenaraikan ialah Lee Zii Jia, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Soong Joo Ven (perseorangan) dan Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei (beregu).

831 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »