Ahad, 7 Januari 2018 | 8:36pm
PEMAIN tenis Australia, Nick Kyrgios bergambar dengan trofi kemenangan selepas menjuarai Grand Slam Terbuka Australia di final Antarabangsa Brisbane, hari ini. - Foto AFP

Kyrgios rangkul gelaran Antarabangsa Brisbane

BRISBANE: Bintang tenis kontroversi, Nick Kyrgios merangkul gelaran sulungnya di halaman sendiri menjelang Grand Slam Terbuka Australia selepas menewaskan Ryan Harrison 6-4, 6-2 di final Antarabangsa Brisbane, hari ini.

Dibebani masalah kecederaan lutut, permulaan Kyrgios tampak berkarat dan terpaksa menyelamatkan lima mata break sebelum bangkit untuk memperoleh break pertamanya pada perlawanan ketujuh.

Pemain berusia 22 tahun itu memenangi set pertama sebelum mula mengawal perlawanan selepas lawannya dari Amerika Syarikat itu melepaskan servis pada permulaan set kedua akibat kesalahan berganda.

Kyrgios yang menghuni ranking 21 dunia sekali lagi mematahkan servis Harrison pada set kedua di mana dia beraksi dengan baik untuk menamatkan perlawanan dan mengesahkan kejuaraan keempat dalam kariernya.

Walaupun sering gagal untuk menyerlah dalam aksi Grand Slam, permulaan cemerlang Kyrgios pada musim ini termasuk ketika menewaskan pemain nombor tiga dunia, Grigor Dimitrov di separuh akhir seharusnya meletakkan pemain itu antara pencabar kejuaraan di Terbuka Australia yang bermula 15 Januari ini di Melbourne Park. - REUTERS

151 dibaca
Berita Harian X