Rabu, 11 Oktober 2017 | 8:02pm
GANDINGAN Ng Eng Cheong dan Chang Yee Jun antara pemain yang membawa cabaran Malaysia berdepan dengan India, esok. - Foto Ferzalfie Fauzi

Yoke Meng tampil skuad terkuat hadapi India

KUALA LUMPUR: Jurulatih badminton Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kwan Yoke Meng mahu anak didiknya berada pada tahap terbaik apabila Malaysia berdepan India dalam aksi suku akhir Kejohanan Remaja Dunia esok.

Semalam, Malaysia muncul juara Kumpulan C selepas menundukkan pasukan kerdil Armenia dan New Zealand, kedua-duanya dengan keputusan 5-0 sebelum menundukkan Poland 3-0.

Namun Yoke Meng sedar cabaran yang bakal diberikan India jauh lebih sengit.

"Saya gembira kita menang mudah di peringkat kumpulan, tetapi kita tidak boleh mengharapkan perkara sama apabila bertemu India nanti," kata Yoke Meng ketika dihubungi di Yogyakarta.

"Saya akan menurunkan barisan terkuat kami kerana kami hanya mahukan kemenangan."

Kemenangan di peringkat lapan terakhir, akan menyaksikan Malaysia bakal bertemu pemenang antara pilihan utama Korea Selatan dan Perancis, pada aksi separuh akhir Jumaat ini.

"Untuk menewaskan India, kami perlu bermain pada tahap terbaik. Ia tentu lebih mudah buat kami jika bertemu pasukan kuat di pusingan awal tetapi ia tidak berlaku.

"Bagaimanapun saya masih gembira dengan persembahan skuad kali ini. Kami hanya perlu fokus untuk mendapatkan tiga mata pertama untuk memenangi pertemuan itu," kata Yoke Meng yang berjaya membawa skuad itu ke final di Bilbao, Sepanyol tahun lalu.

Kali terakhir Malaysia memenangi acara berpasukan campuran di Kejohanan Remaja Dunia ialah di Taiwan pada tahun 2011.

232 dibaca
Berita Harian X