Isnin, 9 Oktober 2017 | 9:45pm
PEMAIN tenis Switzerland, Roger Federer percaya beliau mampu bangkit semula buru gelaran perseorangan ke-100. - Foto AFP

Tenis: Federer teruja kebangkitan 2017

SHANGHAI: Roger Federer menyatakan dia bagai tidak percaya dengan kebangkitannya semula yang menyaksikan dia menambah dua lagi gelaran Grand Slam dan menghampiri gelaran perseorangan ke-100 kariernya.

Susulan musim 2016 yang dibelenggu kecederaan yang menyaksikan dia tidak menang sebarang kejuaraan, Federer berjaya mempamerkan persembahan cemerlang sekalipun kurang bermain bagi mengurangkan risiko kecederaan selaras dengan usianya yang sudah 36 tahun.

"Secara jujurnya, musim ini terlalu menggembirakan saya," kata pemain nombor dua dunia itu menjelang Masters Shanghai hari ini.

"Saya gembira berada di sini dan alangkah bagus jika dapat menambah satu lagi gelaran dan turun berlatih, bermula kembali tahun depan serta memperoleh lebih banyak peluang."

Menantinya di Shanghai kemungkinan final impian antaranya dengan Rafael Nadal, yang mana permusuhan mereka semakin membara tahun ini sekali gus menyebabkan generasi muda terpaksa menanti giliran mereka.

Nadal yang merampas semula ranking nombor satu dunia Ogos lalu, turut bertindak cemerlang tahun ini.

Pemain Sepanyol itu hadir di gelanggang keras Shanghai selepas mudah menewaskan pemain Australia berusia 22 tahun, Nick Kyrgios pada final Terbuka China di Beijing, Ahad lalu.

Pemain veteran Federer bagaimanapun tidak ke Beijing untuk tiba awal di Shanghai bagi menjalani latihan. - AFP

312 dibaca
Berita Harian X