Isnin, 9 Oktober 2017 | 2:50pm
BEKAS pemain badminton kebangsaan, Lee Wan Wah kemungkinan ganti Jeremy Gan.

Wan Wah jadi pilihan ganti Jeremy

KUALA LUMPUR: Lee Wan Wah dilapor menjadi pilihan utama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi mengisi kekosongan jurulatih beregu lelaki negara.

Difahamkan, ketua jurulatih beregu lelaki negara, Cheah Soon Kit yang diberi tanggungjawab bagi memilih calon berpotensi merasakan Wan Wah paling layak berdasarkan pengalamannya sebagai pemain dan selesa untuk bekerjasama.

BAM terpaksa mencari jurulatih beregu lelaki yang baharu susulan peletakan jawatan Jeremy Gan dengan notis tiga bulan, dua minggu lalu.

Jeremy dijangka menamatkan tugasnya di BAM hujung tahun ini.

Wan Wah ketika dihubungi bagi mengulas perkara berkenaan, berkata setakat ini dia masih belum menerima sebarang tawaran daripada BAM.

Bagaimanapun, dia berminat mempertimbangkan jawatan berkenaan sekiranya menerima tawaran.

"Setakat ini belum ada apa-apa tawaran lagi dan sukar untuk saya mengulas lanjut. Namun, jika tanya saya minat atau tidak, sudah pasti saya minat dan sedia mempertimbangkan.

"Saya sedia mengadakan perbincangan dan jika semuanya berjalan dengan baik, tidak mustahil saya akan menerimanya.

"Namun, seperti yang saya katakan, selagi belum ada apa-apa tawaran, saya tidak boleh komen panjang," katanya yang kini menjadi jurulatih pemain tajaan syarikat Seri Mutiara Development Sdn Bhd.

Wan Wah mempunyai rekod cemerlang ketika bergelar pemain bersama pasangan Choong Tan Fook apabila berjaya merangkul beberapa gelaran kejohanan antarabangsa termasuk pingat gangsa Kejohanan Dunia 2001 dan 2007 selain emas Sukan Komanwel 1998.

Wan Wah-Tan Fook turut membantu Malaysia muncul naib juara Piala Thomas 1998 dan 2002.

Selain Wan Wah, dua bekas pemain kebangsaan, Chew Choon Eng dan Chan Chong Ming turut berada dalam radar BAM bagi menggantikan tempat Jeremy.

BAM dijangka memuktamadkan pelantikan jurulatih beregu lelaki negara yang baharu minggu ini.

1006 dibaca
Berita Harian X