Selasa, 12 September 2017 | 8:00pm
LIM Khim Wah berharap gandingan V Shem-Wee Kiong dikekal. - Foto Osman Adnan

Khim Wah mahu V Shem-Wee Kiong dikekal

KUALA LUMPUR: Sebagai bekas rakan segandingan Goh V Shem dan pernah mengecapi saat manis merangkul gelaran Terbuka Malaysia 2014, Lim Khim Wah berharap pemain beregu lelaki negara itu terus bergandingan dengan Tan Wee Kiong walaupun ada ura-ura mereka bakal dipisahkan.

Menurut Khim Wah, prestasi turun naik adalah perkara biasa dalam acara beregu dan dia sendiri pernah melaluinya.

"Sebagai pemain memang kita perlu bijak untuk menempuh perkara ini dan perlu menerimanya. Sekarang paling penting ialah perancangan untuk menyelesaikan segala masalah yang berlaku di antara mereka jika dibenarkan untuk terus bergandingan," katanya.

Jelasnya, sukar buat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk mengharapkan gandingan lain dan jalan terbaik adalah memberi tumpuan sepenuhnya kepada V Shem dan Wee Kiong.

"Sayang jika kita pecahkan mereka, ada kalanya untuk mereka bangkit kembali memang mengambil masa, mungkin dua atau tiga tahun. Saya juga memang masak dengan perangai V Shem, jika dia merasakan tidak sesuai bergandingan dengan mana-mana pemain, jalan singkat ialah menukar pasangan.

"Dia memang mempunyai fikiran seperti itu, walaupun ada kalanya perkara itu juga sangat bagus tapi bagi saya, dalam hal ini tidak sesuai untuk menukar gandingan," katanya.


LIM Khim Wah ketika bergandingan dengan Goh V Shem (kanan) pada Kejohanan BWF World Badminton Championship 2013. - Foto Yazit Razali

Khim Wah yang akan bergandingan bersama bekas pemain nombor satu dunia, Yoo Yeon Seong buat kali pertama di Terbuka Korea Selatan esok, mengakui V Shem sering mempunyai sifat yang cepat putus asa tapi tidak meluahkannya, sebaliknya menyimpan di dalam hati.

"Dia tidak tahu bagaimana untuk meluahkannya dan mungkin sudah tidak tahan lagi (bergandingan bersama Wee Kiong) akhirnya membuat keputusan di luar jangkaan. Saya nasihatkan mereka supaya kekal bergandingan kerana mampu untuk pergi lebih jauh," katanya.

Sementara itu, semua wakil beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Chan Peng Soon-Cheah Yee See berjaya melepasi pusingan pertama Terbuka Korea Selatan.

Kian Meng-Pei Jing yang juga pilihan keenam menumpaskan Nipitphon Phuangphuapet-Jongkolphan Kititharakul dari Thailand 21-13, 21-19, manakala Soon Huat-Shevon mengetepikan wakil Taiwan, Lee Yang-Hsu Ya Ching 17-21, 21-19, 21-17 dan Peng Soon-Yee See menang ke atas Yugo Kobayashi-Misaki Matsutomo (Jepun) 21-18, 21-9.

497 dibaca
Berita Harian X