Jumaat, 28 Julai 2017 | 10:00pm

Tiga gangsa dalam genggaman

KUALA LUMPUR: Skuad badminton remaja negara mencipta kejutan apabila memastikan tiga pingat gangsa berada dalam genggaman di Kejohanan Badminton Remaja Asia di Jakarta, Indonesia, selepas berakhirnya saingan suku akhir, petang tadi.

Ketika ini, tiga wakil negara berjaya menempah slot ke separuh akhir yang dijadualkan esok selepas masing-masing melepasi halangan di peringkat suku akhir.

Beregu lelaki, Chia Wei Jie-Ng Tze Yong, memberikan keceriaan pertama untuk Malaysia apabila menyingkirkan pilihan utama dari India, Krishna Prasad Garaga-Dhruv Kapila dengan kemenangan 23-21, 21-11.

Beregu yang tidak diletakkan harapan tinggi untuk melangkah sejauh itu dijadualkan bertemu beregu Thailand, Wachirawit Sothon-Natthapat Trinkajee atau wakil China, Di Zijian-Chang Wang, untuk menempah slot ke pentas final.

"Itu satu keputusan yang membanggakan dan mereka mesti konsisten dalam pertandingan ini. Kami harap mereka mampu kekalkan momentum dan melangkah lebih jauh.

"Saya sebenarnya terkejut dengan pencapaian beregu ini kerana mereka adalah regu yang dipecahkan. Tiada siapa yang menjangka mereka akan mara sejauh ini," kata jurulatih Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kwan Yoke Meng, ketika dihubungi.

Dalam saingan perseorangan lelaki, pilihan keenam, Leong Jun Hao, turut menceriakan kem negara apabila menumpaskan pemain China, Gu Junfeng 15-21, 21-16, 21-13.

Jun Hao, yang dianggap berpotensi besar untuk mencipta nama selaku pemain utama negara, akan berdepan pilihan ketiga dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn.

"Ini adalah peluang terbaik Jun Hao untuk muncul juara. Saya berharap dia mampu menangani tekanan dengan bijak," kata Yoke Meng.

Kejutan ketiga kem negara dicipta oleh pemain perseorangan wanita, Eoon Qi Xuan, selepas bangkit mengejutkan pemain China, Wang Zhiyi, dengan kemenangan 14-21, 21-15, 21-13.

Qi Xuan yang konsisten sejak hari pertama kejohanan akan berdepan seorang lagi wakil negara tembok besar, Han Yue, yang juga pilihan keempat di pentas separuh akhir.

Yoke Meng yang meletakkan sasaran awal dengan hanya satu wakil negara akan beraksi di pentas separuh akhir berkata, beliau cukup gembira kerana pemain bimbingannya berjaya melepasi sasaran.

"Mereka perlu bertenang, tangani tekanan dengan baik dan secara automatik mereka akan mampu mempamerkan aksi terbaik," katanya.

Ketika kejohanan sama di Bangkok, Thailand tahun lalu, Malaysia cuma meraih satu pingat gangsa menerusi beregu lelaki, Ooi Zi Heng-Soh Wooi Yik.

1152 dibaca
Berita Harian X