;
Sabtu, 19 Mei 2018 | 9:10pm
SAIDATUL IZZATI SUHAIMI

Saidatul optimis cipta masa lebih baik

KUALA LUMPUR: Atlet olahraga negara, Saidatul Izzati Suhaimi berharap prestasinya semakin meningkat musim ini tatkala dia kini bebas sepenuhnya daripada belenggu kecederaan.

Dua bulan sebelum Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) pelari kelahiran Perak itu mengalami kecederaan hamstring kanan, namun Saidatul tetap berjaya membantu kuartet 4x400m negara memenangi pingat gangsa.

Kecederaan Saidatul tidak tamat begitu saja apabila otot quadriceps kanannya koyak sewaktu menjalani latihan pada Mac, sekali gus memaksanya menjalani rawatan fisioterapi dan rehabilitasi sebelum kembali beraksi di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia, minggu lalu.

"Selepas bebas kecederaan saya kembali berlatih kerana menyertai Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia. Alhamdulillah saya dapat mencipta catatan terbaik musim ini dalam acara 400 meter (59.02s) dan 400meter lari berpagar (65.56s).

"Tahun ini prestasi saya meningkat jadi saya harap ia dapat diteruskan. Sasaran saya musim ini adalah untuk mendapatkan rekod peribadi terbaik dalam acara 400meter (m) dan 400m lari berpagar.

"Saya cuba lakukannya di Sukan Universiti ASEAN 2018 di Naypyidaw, Myanmar yang akan berlangsung pada hujung tahun ini," kata Saidatul yang memiliki rekod peribadi terbaik dalam acara 400m iaitu 57.31s dicipta di Terbuka Selangor 2016 dan 62.93s dalam acara 400m lari berpagar (Terbuka Malaysia 2016).

Mengulas lanjut, atlet berusia 22 tahun itu berkata, dia menaruh harapan agar dapat layak dan mewakili negara ke temasya Sukan SEA di Filipina pada 2019 dalam mana-mana acara disertainya.

Saidatul juga berhasrat memperbaiki catatan masa serta kedudukan dalam acara 400m lari berpagar (64.31s) selepas hanya menamatkan saingan acara sama di tempat ketujuh di KL2017.

Selain itu, Saidatul yang mula berkecimpung dalam sukan olahraga sejak berusia 11 tahun meletakkan sasaran sekurang-kurangnya dua tahun untuk dirinya mampu mara ke temasya berprestij seperti Sukan Asia dan Komanwel.

433 dibaca
Berita Harian X