Selasa, 15 Mei 2018 | 5:50pm
JURULATIH, Samuel Kipsang Rono disahkan akan membimbing skuad olahraga Selangor. - Foto Owee Ah Chun

Rezeki Rono masih di Malaysia 

KUALA LUMPUR: Biarpun khidmat Samuel Kipsang Rono bersama skuad olahraga negara sudah berakhir Disember lalu, ternyata rezeki masih memihak jurulatih dari Kenya itu apabila disahkan akan membimbing skuad olahraga Selangor.

Pelari jarak sederhana, Savinder Kaur mengesahkan Rono akan kembali membimbingnya pada hujung bulan ini sebagai persiapan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) di Ipoh.

"Saya sering berhubung dengan Rono menerusi WhatsApp dan beliau masih memberi saya panduan terutama sekali dalam kejohanan yang saya sertai.

"Majlis Sukan Negeri Selangor memaklumkan beliau akan tiba hujung bulan ini dan saya sangat gembira dengan khabar ini," katanya.

Pelari berumur 21 tahun itu menyifatkan teknik dan corak latihan jurulatih Kenya terbabit sesuai dengan dirinya sekali gus membantunya meningkatkan prestasi.

"SUKMA kali ini adalah penyertaan ketiga saya dan saya berharap dapat mempertahankan pingat emas (800 dan 1,500 meter) yang saya peroleh di Sarawak (2016)," katanya.

Savinder merangkul dua emas - acara 800 meter dan 1,500m wanita pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia yang berakhir Ahad lalu.

Untuk rekod, Rono pernah membantu atlet Kenya, Noah Ngeny meraih emas dalam acara 1,500m pada Sukan Olimpik 2000 dan Benjamin Limo (5,000m) pada Kejohanan Dunia 2005, memulakan tugas bersama skuad negara pada Mac 2016 sebelum kontraknya berakhir 31 Disember lalu.   

Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengambil keputusan tidak menyambung kontrak Rono dengan memberi alasan sistem kejurulatihan di Kenya dan Malaysia jauh berbeza dan tidak boleh diterapkan di sini. 

438 dibaca
Berita Harian X