Ahad, 13 Mei 2018 | 2:24pm
ATLET pecut negara Jonathan Nyepa memeluk rakan atlet senegara Khairul Hafiz Jantan selepas berjaya menjadi juara Acara Pecut Lelaki 200 Meter Kategori Terbuka pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini. - Foto BERNAMA

Khairul Hafiz terima kegagalan di Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR: Raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan mengakui masih banyak yang perlu diperbaikinya dan tidak boleh hanya bersandar dengan gelaran yang dipegangnya ketika ini.

Tegas pemegang rekod kebangsaan acara 100 meter itu, dia boleh menerima kekalahannya pada kejohanan olahraga Terbuka Malaysia apabila mencatat masa terburuk dalam acara 100m selain menamatkan saingan di kedudukan ketiga acara 200m.

"Inilah hakikat dalam karier seseorang atlet. Anda tidak semestinya akan terus berada di atas. Ada kalanya anda menang ada kalanya anda kalah. Sedangkan Usain Bolt juga pernah kalah inikan pula saya.

"Saya terima kekalahan ini dan saya tahu banyak lagi yang perlu dilakukan dan perlu melipatgandakan usaha. Kekalahan ini satu motivasi untuk memperbaiki kelemahan kerana saya tahu ramai pelari sedang mengejar saya," katanya.

Dalam acara 100m kelmarin, Khairul Hafiz yang memegang rekod kebangsaan 10.18s mencatat masa terburuk dalam kariernya, 10.66s menamatkan saingan di kedudukan kelima manakala dalam acara 200m, pelari kelahiran Melaka itu meraih gangsa (21.27s) tewas kepada rakan senegara Jonathan Nyepa (21.10s).

Malah dia turut tewas kepada pelari muda negara dari Terengganu, Abdul Wafiy Roslan (21.24s).

"Saya sudah lama tak beraksi dalam acara 200m. Ini satu permulaan yang baik untuk saya. Semua ini satu pengalaman. Ia memberi pengajaran untuk saya lebih berdaya saing.

"Tiada atlet yang nak kalah tapi takdir belum memihak kepada saya. Saya kena betulkan diri dan dengar segala arahan jurulatih," katanya.

Untuk rekod, Terbuka Malaysia adalah penyertaan ketiga pelari yang dikenali dengan gelaran 'The Speedy Jantan' tahun ini.

1124 dibaca
Berita Harian X