;
Sabtu, 12 Mei 2018 | 11:48pm
JONATHAN Nyepa (kiri) menamatkan larian pada acara 200m lelaki pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2018 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Jonathan kejutkan Khairul Hafiz

KUALA LUMPUR: Pelari pecut negara, Jonathan Nyepa melakar kejutan apabila mengungguli acara 200 meter (m) pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia ketika tumpuan terarah kepada Raja Pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan.

Jonathan melakukan 21.10s untuk menewaskan Khairul Hafiz yang menamatkan cabaran di tempat ketiga dengan 21.27s manakala pingat perak menjadi milik Abdul Wafiy Roslan (21.24s).

Bagi Jonathan ia sesuatu yang tidak dijangka apabila buat pertama kali dapat menewaskan Khairul Hafiz di pertandingan kompetitif.

"Saya tak letakkan apa-apa harapan sebab badan saya terlalu penat selepas acara semalam. Tapi saya tetap berpuas hati dan terkejut juga kerana dapat mencatat masa terbaik dalam keadaan yang tidak cergas," katanya.

Sementara itu pelari pecut wanita, Zaidatul Husniah Zulkifli mempamerkan rentak larian konsisten untuk menguasai acara 200m.

Selepas memenangi emas dalam acara pecut semalam, Husniah mempamerkan larian bertenaga apabila melepasi garisan penamat dengan catatan 23.79s dengan pingat perak dimenangi atlet dari Angkatan Tentera Malaysia, S Komalam Shally (24.18s) dan gangsa milik Shereen Samson Vallabouy (24.63s).

Bagi Husniah yang dikenali dengan panggilan Adik, apa yang dilakarkan di kejohanan kali ini cukup memuaskan hatinya kerana berjaya melakukan catatan masa terbaik musim ini.

"Jika boleh saya nak perbaiki catatan ketika Sukan SEA yang lalu iaitu 23.6s tapi tak berjaya. Apapun saya puas hati kerana ia adalah masa terbaik peribadi saya untuk tahun ini," katanya yang berharap Kesatuan Olahraga Malaysia )KOM) memberi peluang kepadanya beraksi di Sukan Asia Indonesia Ogos ini.

Ia adalah pingat kedua buat Husniah di Terbuka Malaysia kali ini.

Dalam acara lompat tinggi, Nauraj Singh Randhawa meraih emas apabila menewaskan rakan sepasukan Lee Hup Wei.

Nauraj melakukan 2.23m manakala Hup Wei 2.20m dan tempat ketiga milik Muhammad Syazwan Ahmad dengan lompatan 2.10m.

Sementara itu impian atlet lompat jauh negara, Abdul Latif Romly untuk mendominasi acara itu tidak kesampaian apabila terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

Pemenang pingat emas temasya Paralimpik Rio itu hanya ketinggalan 0.02m di belakang pemenang pingat emas dari Korea, Kim Sang Su yang merekodkan 7.39m dengan gangsa menjadi milik Lukman Hakim Ramlan (7.24m).

7593 dibaca
Berita Harian X