Selasa, 6 March 2018 | 9:46pm
JAGUH lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin kini berada di Singapura bersama jurulatih, Franc Petrovic menyertai kem latihan kira-kira dua minggu. - Foto Osman Adnan

Irfan impi cipta rekod baharu

KUALA LUMPUR: Jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin ketika ini tidak mahu terlalu yakin memenangi pingat buat negara pada temasya Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, bulan depan.

Katanya, kemampuan beliau sama ada berpeluang meraih pingat atau sebaliknya bergantung pada hari sebenar kejohanan termasuk bebas daripada sebarang bentuk kecederaan.

"Saya akan lakukan yang terbaik dalam semua temasya dan kejohanan yang saya sertai. Kalau hendak bercakap mengenai pingat, saya tidak tahu kerana ia bergantung pada hari kejohanan.

"Yang penting tidak ada kecederaan. Dari situ saya boleh buat yang terbaik, termasuk mencipta rekod kebangsaan baharu," katanya yang menamakan jaguh Jamaica, Australia dan United Kingdom sebagai saingan utama.

Atlet dari Negeri Sembilan itu ketika kini berada di Singapura bersama jurulatih, Franc Petrovic menyertai kem latihan kira-kira dua minggu.

Selepas itu, pemenang pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) berkenaan akan bertolak ke Sydney dan terus berada di negara berkenaan bagi menyertai temasya Komanwel.

Sukan Komanwel dijadual berlangsung pada 4 hingga 15 April ini.

449 dibaca
Berita Harian X