Jumaat, 2 March 2018 | 6:25pm
BEKAS raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Atlet perlu berkampung 2 minggu awal

KUALA LUMPUR: Bekas raja pecut Asia Tenggara, Nazmizan Muhammad mencadangkan atlet olahraga yang mewakili negara ke Sukan Komanwel Gold Coast dapat berada di Australia sekurang-kurangnya dua minggu lebih awal.

Ini bagi membolehkan mereka dapat membiasakan diri dengan faktor cuaca selain balapan dan padang yang bakal digunakan pada temasya yang dijadual bermula pada 4 hingga 15 April depan.

"Mungkin kerana kita mengalami kekangan bajet untuk mengadakan latihan di luar negara, jadi saya harap atlet dapat memberikan fokus penuh untuk latihan di dalam negara.

"Saya juga berpendapat agar atlet dihantar lebih awal ke Australia, sekurang-kurangnya dua minggu sebelum temasya bermula untuk menyesuaikan diri dengan cuaca.

"Paling penting penyesuaian itu dapat mengelakkan diri daripada sebarang bentuk kecederaan," kata Nazmizan ketika menyuarakan pendapat mengenai Sukan Komanwel, hari ini.

Mengulas lanjut, Nazmizan melihat dua jaguh lompat tinggi negara, Nauraj Singh Randhawa dan Lee Hup Wei sebagai antara atlet yang mampu menghadiahkan pingat.

"Selain jaga pemakanan, atlet perlu sentiasa bersedia serta meletakkan sasaran tinggi seperti mahu mara ke separuh akhir.

"Pada saya, Nauraj dan Hup Wei yang sentiasa tampil konsisten mampu menghadiahkan pingat. Kuartet 4x100m lelaki pula mampu mara ke final."

Buat masa ini, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menyenaraikan 12 atlet untuk menggalas cabaran di Sukan Komanwel, antaranya raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan.

276 dibaca
Berita Harian X