Khamis, 22 Februari 2018 | 1:47pm
ATLET olahraga negara, Zaidatul Husniah Zulkifli (kiri) dan Jonathan Nyepa diminta mengekalkan prestasi masing-masing agar dapat memberikan saingan pada Sukan Komanwel Gold Coast, April ini. - Foto Osman Adnan

Komanwel: Zaidatul, Jonathan perlu kekal prestasi

KUALA LUMPUR: Atlet olahraga negara, Zaidatul Husniah Zulkifli dan Jonathan Nyepa diminta mengekalkan prestasi masing-masing agar dapat memberikan saingan pada Sukan Komanwel Gold Coast, Australia pada April ini.

Jurulatih olahraga negara, M Balamurugan bagaimanapun tidak mahu memberikan tekanan kepada mereka menjelang temasya sukan berkenaan.

Zaidatul Husniah dan Jonathan dijadual menyertai Kejohanan Olahraga All Comers FTKLAA / MILO 2018 di Bukit Jalil pada 18 Mac ini.

"Selepas tamat Kejohanan Olahraga Jemputan Sukan Asia di Indonesia, mereka akan menyertai Terbuka Wilayah. Namun saya tidak meletakkan apa-apa sasaran kerana ia lebih kepada persiapan dan mengekalkan prestasi.

"Mereka hanya menyertai acara 200m di Terbuka Wilayah kerana sudah kerap menyertai acara 100m termasuk temasya Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2018 dan Jemputan Sukan Asia," kata Balamurugan hari ini.

Mengulas lanjut, Balamurugan berkata berdasarkan senarai awal dikeluarkan oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Zaidatul Husniah diletakkan untuk bersaing dalam acara pecut 100m wanita sementara Jonathan, 4x100m lelaki.

Jonathan dijadual bergandingan bersama Badrul Hisyam Abdul Manap, Nixson Kennedy dan Khairul Hafiz Jantan yang turut disenaraikan beraksi dalam acara pecut 100m lelaki.

"Pada Sukan Komanwel, saingan untuk acara pecut agak tinggi. Jadi, di sana nanti dia perlu kekalkan larian di bawah 11.50s kerana antara misi ke sana adalah memperbaharui rekod kebangsaan 100m wanita serta pendedahan untuk ke Sukan

Asia," katanya.

Sukan Komanwel di Australia akan berlangsung pada 4 hingga 15 April manakala Sukan Asia di Indonesia pada 18 Ogos hingga 2 September.

894 dibaca
Berita Harian X