Ahad, 18 Februari 2018 | 11:14pm
ATLET olahraga negara, M Tanalaksiumy perlu meningkatkan teknik dan kualiti larian bermula dari sekarang sekiranya berhajat beraksi dalam acara 400 meter (m) di Sukan SEA Filipina, tahun depan.

Tana sasar berlari di Filipina

KUALA LUMPUR: Atlet olahraga negara, M Tanalaksiumy mengakui dia perlu meningkatkan teknik dan kualiti larian bermula dari sekarang sekiranya berhajat beraksi dalam acara 400 meter (m) di Sukan SEA Filipina, tahun depan.

Finalis Miss Universe Malaysia 2017 itu gagal mencapai impian untuk beraksi dalam acara individu di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) gara-gara catatan masanya tidak melepasi standard kelayakan yang ditetapkan.

Bagaimanapun, dia berjaya membantu kuartet 4x400m negara meraih gangsa pada penampilan sulungnya di peringkat Asia Tenggara bersama tiga lagi rakan iaitu Fatin Faqihah Mohd Yusof, Nurul Faizah Asma Mazlan dan Shereen Samson Vallabouy.

"Walaupun saya tidak berada di dalam program namun saya akan terus aktif berlari selain memberikan tumpuan terhadap pelajaran.

"Saya masih belum mencapai impian untuk mewakili negara dalam acara individu. Jadi, saya perlu berusaha tahun ini untuk menjadikannya kenyataan.

"Saya harap dapat melakukan larian di bawah 55 saat (s) dalam acara 400m sekali gus beraksi di Filipina tahun depan," katanya ketika ditemui hari ini.

Catatan peribadi terbaik Tanalaksiumy yang lebih mesra dengan panggilan Tana dalam acara itu adalah 57.30s yang diciptanya pada Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2016.

977 dibaca
Berita Harian X