Rabu, 3 Januari 2018 | 4:48pm
RAYZAM Shah harap akan dapat mengembalikan rentaknya ketika dia menyertai kejohanan bulan depan. - Foto Yazit Razali

Rayzam idam pingat Sukan Asia

KUALA LUMPUR: Pemenang emas Sukan SEA, Rayzam Shah Wan Sofian akan kembali ke trek bulan depan buat kali pertama dalam tempoh enam bulan dengan harapan 2018 akan membawanya ke kedudukan podium Sukan Asia di Indonesia.

Rayzam tidak menyertai pertandingan sejak menang emas acara 110 meter berpagar di Sukan SEA Kuala Lumpur pada Ogos, 10 tahun selepas emas pertama Sukan SEA menjadi miliknya pada 2007.

Selepas memperbaharui rekod kebangsaan berusia 23 tahun milik Nurherman Majid tahun lalu dengan catatan 13.67 saat, Rayzam berharap akan dapat mengembalikan rentaknya ketika dia menyertai kejohanan bulan depan.

Rayzam ada pilihan sama ada beraksi dalam Kejohanan Dalam Dewan Asia dekat Teheran pada 1-3 Februari atau Ujian Sukan Asia di Palembang pada 11-15 Februari.

"Saya sudah berbincang dengan jurulatih, Jan May mengenai kejohanan mana akan disertai tetapi saya masih belum membuat keputusan," kata Rayzam hari ini.

"Saya lebih suka bersaing dalam kejohanan pra Sukan Asia kerana ia kejohanan luar dewan dan di Iran saya perlu berlari dalam acara 60m.

"Berlari di luar dewan akan membantu persiapan saya ke Sukan Komanwel Gold Coast (pada April) dan saya mahu bermula secepat mungkin."

Rayzam, 29, ialah seorang daripada tiga atlet dipilih untuk Sukan Dalam Dewan Asia oleh Persekutuan Olahraga Malaysia termasuk pelari pecut Nixson Kennedy dan Zaidatul Husniah Zulkifli yang masing-masing akan berlari dalam acara 60m lelaki dan wanita.

Rayzam yang berasal dari Sabah berharap dapat kembali ke prestasi terbaiknya pada tahun baharu ini dengan keutamaan pastinya kepada Sukan Asia, Ogos depan.

"Sasaran saya tahun ini ialah menang pingat pada Sukan Asia," kata Rayzam yang akan membuat penampilan pertama di temasya berkenaan. "Saya tahu ia sukar tetapi saya rasa tempat di podium boleh dicapai.

"China memiliki sebahagian atlet terbaik dalam acara itu di Asia, jadi mereka adalah pilihan untuk emas tetapi saya berharap boleh dapat perak atau gangsa."

Malaysia tidak pernah menang pingat dalam acara olahraga Sukan Asia sejak 2006 apabila atlet lompat galah wanita, Roslinda Samsu dan pelari 400m berpagar wanita, Norseela Khalid masing-masing menang perak dan gangsa di Doha.

496 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »