Selasa, 3 Oktober 2017 | 8:17am
JUARA dunia 100 meter, Justin Gatlin (tengah) tidak berada dalam senarai calon Anugerah Atlet Dunia Tahunan IAAF. - Foto AFP

Gatlin tercicir daripada senarai atlet terbaik

PARIS: Juara dunia 100 meter, Justin Gatlin tidak berada dalam senarai calon bagi Anugerah Atlet Dunia Tahunan IAAF (Persekutuan Olahraga Antarabangsa) 2017.

Gatlin yang pernah digantung kerana dua kali gagal dalam ujian doping mengejutkan dunia apabila memenangi acara 100m di Kejohanan Dunia di London, mengatasi atlet Jamaica, Usain Bolt yang sekadar meraih gangsa.

Ketika IAAF menamakan 10 calon lelaki dan wanita untuk anugerah berkenaan, nama Gatlin jelas tiada dalam senarai berkenaan.

Ini adalah kali pertama sejak tahun 2004 - di mana Gatlin turut tidak tersenarai - yang menyaksikan juara dunia atau Olimpik acara 100m tidak tersenarai bagi merebut anugerah atlet terbaik.

Bagaimanapun, ketiadaan Gatlin bukan sesuatu yang mengejutkan selepas IAAF mengubah peraturan badan induk itu pada 2015 yang mana atlet yang pernah dikenakan penggantungan kerana kes doping tidak boleh disenaraikan.

Keputusan itu hadir selepas juara Olimpik lempar cakera dari Jerman, Robert Harting meminta namanya dikeluarkan daripada senarai itu sebagai tanda protes keputusan menyenaraikan Gatlin pada tahun 2014.

Senarai calon bagi anugerah kali ini diketuai juara dunia 10,000m dari Britain, Mo Farah dan bintang 400m Afrika Selatan, Wayde van Niekerk.

Bagi calon wanita pula, Sally Pearson dari Australia antara diletakkan sebagai pilihan utama selain juara dunia 800m dari Afrika Selatan, Caster Semenya. - AFP

1404 dibaca
Berita Harian X