Khamis, 28 September 2017 | 6:12pm
ATLET olahraga, Badrul Hisyam Abdul Manap (kanan) dipantau jurulatih, Poad Kassim (2,kanan) pada sesi latihan di Padang MSN Bukit Jalil. - Foto Osman Adnan

Badrul akan kembali menyinar - Poad

KUALA LUMPUR: Pecutan Badrul Hisyam Abdul Manap yang pernah digeruni satu ketika dulu makin tenggelam sejak kebangkitan jaguh pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan yang juga rakan sepelatihnya.

Namun jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim yakin bahawa atlet berusia 19 tahun itu akan kembali menggegar seperti dua tahun lalu.

Poad mengakui mungkin kisah lampau apabila rekod kebangsaan yang dicipta Badrul dua tahun lalu ketika menyertai Kejohanan sukan Sekolah-Sekolah ASEAN di Brunei tidak diiktiraf mengubah rentak 360 darjah pelari itu.

Namun Poad yang melatihnya sudah sekian lama dapat mengesan bahawa Badrul akan kembali mewarnai arena pecut negara.

"Badrul akan kembali tapi akan mengambil sedikit masa.

"Sekarang ini apa yang penting adalah dirinya sendiri. Badrul seperti mencari-cari Badrul yang dulu iaitu ketika dia berusia 17 tahun.

"Pada masa itu apa yang disuruh dia akan lakukan dengan bersungguh-sungguh sama seperti Khairul Hafiz sekarang.

"Tapi mungkin juga pergaulannya atau peribadinya turut sama mempengaruhi rentak larian Badrul," katanya.

Poad berkata, antara Badrul dan Khairul tidak jauh beza malah ketika latihan masa yang dilakukan oleh kedua-dua atlet itu tidak jauh bezanya hanya 0.2 atau 0.3 saat.

Justeru hanya satu yang boleh membantu Badrul kembali seperti dulu iaitu dalaman dirinya sendiri kerana tiada siapa yang boleh mengubah selain dirinya sendiri.

Ditanya apa yang perlu dilakukan untuk kembali melihat Badrul yang dulu Poad berkata, atlet itu perlu melihat kembali masa lampaunya.

"Kaji kembali. Apa yang dia lakukan pada usianya 17 tahun. Lihat semula. Macam mana dia boleh capai kejayaan dulu.

"Dia kena bandingkan untuk mendapatkan sesuatu yang lebih baik demi masa depannya," katanya.

Pada temasya Sukan SEA Badrul tidak disenaraikan dalam acara pecut apabila Kesatuan Olahraga Malaysia mahu dia memberi tumpuan kepada acara berganti-ganti.

Bagaimanapun dia dijadualkan kembali beraksi dalam acara 100 dan 200m di Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) bulan depan.

1763 dibaca
Berita Harian X