Rabu, 27 September 2017 | 1:52pm
BAGI atlet lontar peluru negara, Adi Alifuddin Hussin, semangatnya masih kuat dan tetap mahu meneruskan karier sebagai atlet. - Foto Yazit Razali

Adi enggan mengalah

KUALA LUMPUR: Kegagalan di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) tidak akan menjadi penamat buat pemegang rekod kebangsaan acara lontar peluru negara, Adi Alifuddin Hussin.

Biarpun tumpuan dalam acara itu kini terarah kepada atlet para negara, Ziyad Zolkefli selepas melakar sejarah tersendiri menjadi atlet para pertama meraih pingat di temasya Sukan SEA dan emas di Sukan Para ASEAN, ia tidak melunturkan semangat Adi untuk berjuang.

Bagaimanapun semuanya terpulang kepada keputusan Majlis Sukan Negara (MSN), sama ada mahu mengekalkannya dalam program atau sebaliknya.

Bagi Adi, semangatnya masih kuat dan tetap mahu meneruskan karier sebagai atlet, namun jika digugurkan daripada program, dia terpaksa mengambil memikirkan hala tujunya selepas ini secara lebih serius.

"Saya masih mahu meneruskan perjuangan lagi. Ketika ini saya tidak boleh memaklumkan mengenai hala tuju saya. Jika diikutkan saya, memang mahu lagi bergelar atlet tetapi jika tiada dalam program itu susah sikit kerana ia membabitkan komitmen saya yang kini sedang bekerja.


ATLET lontar peluru negara, Adi Alifuddin masih lagi memegang rekod kebangsaan dengan lontaran sejauh 17.53 meter. - Foto Yazit Razali

"Dimaklumkan keputusan sama ada saya kekal dalam program atau tidak akan diketahui bulan depan, jadi kita tengoklah macam mana nanti," katanya yang kini bekerja sebagai pegawai takbir di Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA).

Pada temasya KL2017 yang lalu, Adi yang masih lagi memegang rekod kebangsaan dengan lontaran sejauh 17.53 meter menamatkan saingan di kedudukan keempat, tewas kepada Ziyad yang meraih gangsa biarpun baru pertama kali beraksi di temasya dwi tahunan itu.

Katanya, dia gagal mengekalkan fokus ketika beraksi dan ia dilihat sebagai punca kegagalannya.

"Saya mempelajari sesuatu di pada temasya kali ini. Mungkin terlalu inginkan kejayaan menyebabkan saya tidak dapat fokus.

"Tahun ini memang bukan rezeki saya. Tapi saya tetap gembira dengan kejayaan Ziyad," katanya.

594 dibaca
Berita Harian X