Selasa, 26 September 2017 | 8:53pm
KHAIRUL Hafiz Jantan berhasrat melakukan catatan bawah 10 saat, sekali gus mengekalkan kedudukan selaku atlet terpantas di rantau Asia Tenggara dalam acara 100 meter. - Foto Yazit Razali

The Speedy Jantan sasar bawah 10 saat

KOTA TINGGI: Jaguh pecut negara, Khairul Hafiz Jantan berhasrat untuk melakukan catatan bawah 10 saat, sekali gus mengekalkan kedudukan selaku atlet terpantas di rantau Asia Tenggara dalam acara 100 meter.

Hasrat itu disuarakan Khairul Hafiz, selepas seorang atlet Jepun Yoshihide Kiryu berjaya memecahkan rekod kebangsaan negara berkenaan dalam acara 100 meter dengan catatan 9.98 saat, baru-baru ini.

"Ia satu motivasi kepada saya untuk bersaing di pentas antarabangsa. Insya-Allah, saya akan buat yang terbaik," katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, Khairul Hafiz dianugerahkan Olahragawan Harapan pada Majlis Anugerah Juara Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan.

Dalam pada itu, Khairul Hafiz yang dikenali sebagai 'The Speedy Jantan' berkata beliau kini semakin pulih daripada kecederaan dan sudah memulakan latihan bersama jurulatihnya Poad Kassim di SSTMI.

​​

Selain itu, Khairul Hafiz turut memaklumkan beliau berjaya melayakkan diri untuk bersaing pada Sukan Asia di Indonesia, tahun depan.

"Fokus saya sekarang adalah untuk Sukan Asia," katanya.

Khairul Hafiz berkata beliau juga sedang memberi fokus untuk layak secara merit untuk​​​​ mewakili negara ke Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia.

Sebagai persediaan menghadapi kedua-dua temasya berkenaan tahun depan, Khairul Hafiz dijangka beraksi pada Kejohanan Dalam Dewan Dunia di Birmingham, London, Mac 2018. - BERNAMA

3233 dibaca
Berita Harian X