Ahad, 24 September 2017 | 5:48pm
AKSI Felicia Mikat (kiri) ketika beraksi dalam acara 100m kategori T13 pada Para KL2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil. - Foto Osman Adnan

Felicia kini ingin tumpu SPM

KUALA LUMPUR: Selepas menamatkan saingan Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017), tumpuan Felicia Mikat kini terarah kepada persiapan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada November ini.

Atlet olahraga para negara ini berkata pelajaran menjadi sebahagian daripada perkara penting dalam hidupnya ketika ini sebagai bekalan buat dirinya pada masa depan.

"Tahun ini saya akan menghadapi SPM. Saya menetapkan sasaran untuk memperoleh keputusan 2A daripada tujuh subjek yang saya ambil iaitu menerusi subjek Bahasa Melayu dan Pendidikan Moral.

"Saya berharap dapat buat sebaiknya dalam peperiksaan nanti kerana salah satu matlamat hidup saya adalah untuk membantu keluarga dan memberi mereka kebahagiaan setakat yang saya mampu.

"Kalau ada rezeki saya ingin memasuki universiti. Tapi kalau tak dapat, saya akan teruskan latihan seperti biasa sebelum memenuhi cita-cita menjadi seorang jurulatih," kata Felicia yang turut berharap mampu bersaing di Sukan Paralimpik satu hari nanti.

Atlet dari Sabah ini mengakui dia tidak kecewa meskipun sekadar meraih tiga pingat gangsa menerusi acara 100 meter (m), 200m dan 400m wanita T13 (masalah penglihatan) di Para KL2017, berbanding tiga emas acara sama di Singapura 2015.

Kata anak ketiga daripada empat beradik ini, sejak awal tahun ini dia sudah mengurangkan masa menjalani latihan berbanding sebelum ini kerana sedar perlu memberikan tumpuan kepada SPM.

Felicia berkata dia sudah melakukan yang terbaik di sini serta memperbaiki catatan masa meskipun bersaing dalam keadaan cedera yang dialami kira-kira dua minggu sebelum Para KL2017 membuka tirai.

Skuad olahraga para menutup tirai dengan 36 emas, 27 perak dan 30 gangsa, menjadikan 93 pingat secara keseluruhan sepanjang lima hari saingan yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

1184 dibaca
Berita Harian X
Teruskan ke laman Berita Harian »