Rabu, 13 September 2017 | 9:07pm
ATLET lontar peluru negara, Mohd Ziyad Zolkefli menyeru peminat sukan tanah air untuk hadir memberi sokongan kepada kontinjen Malaysia yang akan beraksi pada Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para Kl2017). - Foto Yazit Razali

Para KL2017: Kontinjen Malaysia mampu lepasi sasaran

KUALA LUMPUR: Jaguh dunia, Mohd Ziyad Zolkefli menyeru peminat sukan tanah air untuk hadir memberi sokongan kepada kontinjen Malaysia yang akan beraksi pada Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para Kl2017) yang membuka tirainya, Ahad ini.

Atlet lontar peluru itu, berkata sokongan rakyat Malaysia sangat diperlukan ketika mereka tampil dengan misi untuk mencapai sasaran 103 pingat emas sekali gus bergelar juara keseluruhan.

Katanya, sokongan yang diterima atlet negara ketika Sukan SEA, bulan lalu jelas menjadi salah satu faktor utama kejayaan Malaysia menjadi juara keseluruhan dan diharapkan ia berterusan untuk temasya Para ASEAN pula.

"Saya sangat yakin dengan kerja keras dan usaha rakan sepasukan, kita mampu mencapai sasaran malah bukan sesuatu yang mustahil untuk kita melepasi sasaran berkenaan.

"Jika sokongan berterusan dapat diberikan terutama di stadium seperti yang berlaku ketika Sukan SEA, kita pasti boleh lakukannya.

"Kami tetap akan memburu sasaran 103 namun jika mendapat sokongan seperti atlet normal, pencapaian lebih baik juga tidak mustahil diraih," jelasnya.


ABDUL Latif Romly yakin atlet para mampu lepasi sasaran dan sedia memburu kejayaan untuk negara. - Foto Osman Adnan

Sementara itu, Olahragawan Negara 2016, Abdul Latif Romly, berkata fasa akhir kem latihan pusat yang dijalankan ketika ini sudah cukup membakar semangat mereka memburu kejayaan untuk negara.

"Saya yakin kami juga mampu lepasi sasaran. Kami umpama keluarga yang besar, saling memberi dorongan antara lain untuk meraih kejayaan bermula hujung minggu nanti," katanya.

Sukan Para ASEAN akan membuka tirai Ahad ini dengan Malaysia menghantar 331 atlet menyertai 289 acara daripada 16 jenis sukan.

275 dibaca
Berita Harian X