Ahad, 3 September 2017 | 9:57pm
ZIYAD Zolkefli tekad raih emas pada temasya Para KL2017. - Foto Yazit Razali

Ziyad tekad rangkul emas di Para KL2017

KUALA LUMPUR: Atlet paralimpik negara, Ziyad Zolkefli yakin mampu menukar warna kilauan pingat gangsa yang dimenangi pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) kepada emas di Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017).

Dia bertekad melakukannya selepas terpaksa berpuas hati dengan gangsa pada penampilan sulung acara lontar peluru pada temasya KL2017 selepas lontaran sejauh 17.12 meter, meletakkannya di belakang dua atlet Thailand, Promrob Juntima dan Thawat Khacin.

Malah, atlet berusia 27 tahun itu tidak rela penguasaannya dalam acara lontar peluru F20 sejak edisi 2011 Solo, musnah di laman sendiri ketika menjangkakan pencabar utamanya hadir daripada rakan senegara.

"Sudah tentu saya mahu mengekalkan penguasaan pingat emas di Sukan Para KL2017. Saya begitu dahagakan emas kali ini, selepas hanya berpuas hati dengan pingat gangsa pada saingan Sukan SEA.

"Insya-Allah kalau menang ia akan menjadi kali keempat berturut-turut saya memenangi acara ini dan sebolehnya saya tidak mahu mengecewakan penyokong di Malaysia yang hadir ke stadium nanti," katanya kepada BH Sukan, hari ini.

Pada saingan KL2017 yang menutup tirainya Rabu lalu, Ziyad diberi peluang bersaing dengan atlet normal selepas menunjukkan prestasi cemerlang dalam aksi paralimpik termasuk menang emas temasya Paralimpik Rio 2016.

Tidak cukup dengan itu, Ziyad terus mengharumkan nama negara apabila bukan saja memenangi pingat emas di Kejohanan Olahraga Para Dunia di London, Mei lalu, malah turut memecahkan rekod dunia miliknya dengan catatan 17.29 meter.

Dia yang baru menyambut kelahiran cahaya pertama, bulan lalu turut berpeluang melakar sejarah menjadi atlet pertama memenangi pingat pada kedua-dua temasya - Sukan SEA dan Sukan Para.

868 dibaca
Berita Harian X