Ahad, 3 September 2017 | 9:44pm
PELARI terpantas Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan melayan rakan dan tetamu pada majlis kesyukuran di rumahnya di Bukit Katil, semalam. - Foto Nazri Abu Bakar

Terserah kepada jurulatih - Hafiz Jantan

MELAKA: "Saya meletakkan segala keputusan beraksi di Sukan Asia dan Komanwel di tangan jurulatih bagi menentukan kedudukan saya," kata pelari terpantas Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan.

Pelari 19 tahun negara itu berkata dia akan menyambung latihan dan sesi pembelajaran di Sekolah Sukan Bandar Penawar Selasa ini, selepas bercuti sempena Aidil Adha di rumahnya di Melaka.

Katanya, kesempatan berkenaan digunakannya bersama kedua ibu bapanya untuk mengadakan majlis kesyukuran dan doa selamat yang turut dihadiri sanak saudara, rakan-rakan dan penduduk di sekitar kediamannya di Bukit Katil.


PELARI terpantas Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan (dua dari kiri) melayan rakan pada majlis kesyukuran di rumahnya di Bukit Katil, semalam. - Foto Nazri Abu Bakar

Hadir sama pemimpin setempat dan rakan kontinjen olahraga negara, Badrul Hisham Abd Manap dan rakan kedua-dua ibu bapa dan adik beradiknya.

"Saya bersyukur dapat mengadakan majlis ringkas berkenaan sebagai menghargai jasa dan sokongan semua pihak sepanjang pembabitan saya dalam sukan olahraga, terutama meraih kejayaan menjuarai acara 100 meter di Sukan SEA Kuala Lumpur (KL 2017) baru-baru ini.

"Semuanya sukar digambarkan dengan kata-kata. Tanpa barisan kejurulatihan terutama jurulatih Mohd Poad Kassim, kedua ibu bapa dan semua pihak, saya tidak mampu berada sejauh ini. Terima kasih kepada doa, kata perangsang dan semangat yang tidak dapat dinyatakan satu persatu ke atas semua pihak berkenaan," katanya.

Menurutnya, dia hanya akan menentukan perancangan ke atas dirinya dalam penyertaan sukan selepas ini menerusi keputusan jurulatih yang mengetahui kedudukan dan kesesuaiannya untuk bersaing.

"Apapun, sudah pasti saya mahu layak berlumba di Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia, walaupun berdepan tugasan mencabar.

"Sehubungan itu, fokus pada persiapan mental dan fizikal amat diperlukan, tambahan difahamkan saya perlu memecahkan rekod yang dicipta sebelum ini atau sekurang-kurangnya menyamai pencapaian terbabit untuk layak secara merit," katanya.

Khairul Hafiz yang dikenali dengan jolokan The Speedy Jantan menamatkan kemarau 14 tahun pingat emas negara yang kali terakhir menerusi Nazmizan Mohamad di Sukan SEA Vietnam 2003, dengan mengetepikan juara edisi sebelumnya, Eric Cray dari Filipina.

4435 dibaca
Berita Harian X