Ahad, 3 September 2017 | 4:25pm
RAYZAM merangkul pingat emas acara 110m lari berpagar di KL2017. - Foto YAZIT RAZALI

Rayzam Syah buru gelaran juara Asia

KUALA LUMPUR: Kejayaan merangkul pingat emas acara 110 meter (m) lari berpagar di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) menyuntik semangat buat Rayzam Syah Wan Sofian untuk bergelar jaguh Sukan Asia, yang dijadualkan tahun depan.

Beliau berkata, ia bukan sesuatu yang mustahil jika dia berusaha keras dan terus konsisten dengan corak lariannya di balapan.

"Saya perlu terus konsisten dengan larian saya. Tidak mustahil untuk menang di Sukan Asia walaupun catatan masa terbaik saya buat masa ini hanya membolehkan saya sekurang-kurangnya meraih pingat gangsa," katanya.

Sukan Asia dijadualkan berlangsung di Indonesia, dari 18 Ogos hingga 2 September tahun depan.

Raja 110m lari berpagar Asia Tenggara dari Sabah itu berkata, beliau juga akan memberikan tumpuan terhadap Sukan Komanwel di Gold Coast, Australia, yang dijadual berlangsung dari 4 hingga 15 April tahun depan.

Beliau berazam untuk memperbaiki catatan masa terbaiknya yang juga rekod kebangsaan iaitu 13.67s, yang dilakar pada 27 Mei lalu di Jerman, sama ada di Sukan Komanwel atau Sukan Asia.

Rayzam juga berharap akan ada pelapis yang boleh memberi cabaran dalam acara itu supaya Malaysia tidak ketandusan pemenang pingat di kejohanan antarabangsa.

Di KL2017, Rayzam menepati ramalan apabila memenangi pingat emas acara 110m lari berpagar dengan catatan 13.83s.

Kepantasan dicipta Rayzam itu menewaskan juara edisi lalu, Jamras Rittidet dari Thailand, yang menduduki tempat kedua dengan masa 14.10s dan atlet Filipina, Clinton Kingsley B (14.15s), di tempat ketiga.

Kejayaan itu membolehkannya mengulangi kejayaan 10 tahun lalu apabila memenangi emas di Sukan SEA Thailand 2007, dengan catatan 13.92s, ketika beliau berusia 18 tahun.

"Saya mendapat pengalaman dan kenangan yang cukup bermakna di KL2017, lebih-lebih lagi negara tidak memenangi emas dalam acara itu sejak 10 tahun lalu," katanya.

3335 dibaca
Berita Harian X