Jumaat, 1 September 2017 | 3:40pm
ATLET Malaysia, Khairul Hafiz Jantan (kanan) meraikan kejayaan bersama jurulatihnya Mohd Poad Md Kassim di Stadium Bukit Jalil. - Foto Luqman Hakim Zubir

KL2017 beri pengalaman berharga buat Khairul: Poad

KUALA LUMPUR: Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) jelas meninggalkan memori indah buat Khairul Hafiz Jantan apabila berjaya menamatkan penantian selama 16 tahun negara untuk melihat atletnya bergelar Raja Pecut Asia Tenggara.

Namun, temasya dwitahunan yang berakhir pada Rabu lalu itu bukan saja satu pencapaian besar buat pelari berusia 19 tahun kelahiran Melaka itu, malah turut memberi satu pengalaman berharga buat dirinya.

Tegas jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim, KL2017 memberi pengalaman baru buat atlet muda itu selepas hanya mampu melihat rakan kuartetnya berlari dalam acara 4x100 meter.

"Pada mulanya saya nasihatkan dia untuk menarik diri dalam acara 200m kerana kecederaan yang dialaminya dan memberi tumpuan dalam acara 4x100m tapi dia menolak dan tetap beraksi dalam acara 200m.

"Tapi tak mengapa dia sudah belajar sesuatu dari pengalaman itu dan tahu apa yang perlu dilakukan nanti. Tambahan pula dia masih muda," katanya.

Khairul menamatkan aksi dalam acara 200m di kedudukan keempat dalam perlumbaan yang dikuasai oleh atlet Filipina, Trenten Anthony Beram dengan catatan 20.84s, manakala Jirapong Meenapra dari Thailand di tempat kedua (21.22s) dan G Aravinn Thevarr Gunasegaran, ketiga (21.26s).

Secara keseluruhan, Poad berpuas hati dengan pencapaian barisan barisan pelarinya.

Biarpun kuartet negara gagal menyumbangkan pingat, namun tetap ceria apabila berjaya meleburkan rekod kebangsaan dengan catatan baru 39.27 saat. Rekod lama sebelum ini adalah 39.62s.

Anggota kuartet negara adalah Muhammad Haiqal Hanafi selaku pelari pertama, Jonathan Nyepa, Badrul Hisham Abdul Manap dan Nixson Kennedy.

Rekod lama dilakukan oleh gandingan Muhammad Haiqal, Badrul Hisham, Jonathan Nyepa dan Khairul Hafiz ketika saingan Terbuka Vietnam, pada 27 Julai lalu.

895 dibaca
Berita Harian X