Sabtu, 12 Ogos 2017 | 2:24pm
ATLET Malaysia, Khairul Hafiz Jantan. - Foto Luqman Hakim Zubir

Trek Mondo hangatkan acara pecut di Bukit Jalil

KUALA LUMPUR: Trek Mondo di Stadium Nasional di Bukit Jalil, serupa dengan trek ketika Usain Bolt mencatatkan rekod Olimpik 9.63s di London pada 2012 dan tiga gelaran berturut-turut di Rio de Janeiro, bakal meningkatkan tahap keterujaan dalam saingan acara pecut Sukan SEA.

Berwarna biru itu, sama seperti di Rio, ia terbukti membawa tuah kepada pelari pecut kebangsaan, Khairul Hafiz Jantan dengan catatan 20.90s dalam 200m pada Terbuka Malaysia, sekali gus memecahkan rekod kebangsaan 20.92s dipegang hampir separuh abad oleh Tan Sri Dr M Jegathesan pada Olimpik Mexico 1968.

Pada temasya dwitahunan itu di Singapura sebelum ini, enam rekod dicipta dalam acara balapan tetapi tiada dalam acara pecut dengan bintang Filipina, Eric Cray dan Kayla Richardson masing-masing menjulang gelaran 100m lelaki dan wanita manakala acara 200m menjadi milik Le Trong Hinh dari Vietnam dan Shanti Pereira dari Singapura.

Khairul Hafiz, 19, jelas menyukai trek itu dan begitu teruja membuat penampilan pertama di Sukan SEA untuk memberi cabaran kepada pesaingnya termasuk Cray dan pelari pecut Thailand, Jirapong Meenapra yang menjuarai 100m pada 2013.

"Trek ini sangat baharu dan sama taraf macam trek di luar negara yang digunakan untuk kejohanan peringkat antarabangsa, dan lebih bagus dan selesa berbanding trek yang lama.

"Saya rasa trek ini sangat bagus untuk mencatatkan masa terpantas. Saya harap buat yang terbaik untuk Sukan SEA kali ini dengan hasil doa semua rakyat Malaysia," katanya kepada Bernama.

Pelari pecut kelahiran Melaka itu juga ialah pemegang rekod kebangsaan 10.18s.

Catatan terbaik Cray yang juga keturunan Filipina-Amerika ialah 10.25s pada Sukan Singapura dan catatan terpantas Jirapong pula adalah 10.31s.

Kali terakhir atlet Malaysia memenangi gelaran 100m lelaki adalah pada 2003 di Hanoi menerusi Nazmizan Muhammad dengan catatan 10.48s.

Presiden Persekutuan Olahraga Malaysia (MAF), Datuk Karim Ibrahim berkata skuad kebangsaan perlu memanfaatkan kelebihan trek pantas itu dan beraksi di tanah air sendiri untuk mencipta catatan peribadi terbaik dan muncul antara pemenang pingat.

"Semua orang cakap ini adalah trek pantas dan mereka tidak sabar untuk melakukan catatan masa lebih baik dan lebih banyak rekod. Atlet disediakan dua trek Mondo, satu di Stadium Nasional dan satu lagi di padang latihan di Majlis Sukan Negara, jadi tiada alasan untuk mereka gagal menyerlah,

"Perlu menunggu 20 tahun lagi untuk Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA, ini adalah masa yang tepat untuk mereka memberikan yang terbaik."

Jurulatih acara pecut, M Balamurugan berkata anak buahnya selesa dengan trek baharu itu dan mereka yakin mampu melakukan yang terbaik.

Ketua Pusat Sukan Kekuatan dan Daya Tahan Majlis Sukan Negara, Jad Adrian Washif, berkata trek lebih keras lebih baik untuk acara pecut daripada acara jarak sederhana dan jarak jauh.

"Dari segi teori, bagi pertandingan, permukaan lebih keras baik untuk pelari pecut manakala permukaan lebih lembut baik untuk pelari jarak jauh. Untuk tujuan latihan, permukaan lebih lembut seperti trek latihan sentiasa lebih baik untuk atlet, tanpa mengira acara," katanya.

Saingan olahraga Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dijadual berlangsung dari 22 hingga 26 Ogos. - BERNAMA

Berita Harian X