Jumaat, 12 Oktober 2018 | 12:14pm
GAMBAR fail, pemandu pasukan Ferrari, Sebastian Vettel. - Foto Luqman Hakim Zubir

Vettel terselamat selepas sengaja 'kenakan' Hamilton

PARIS: Sebastian Vettel terlepas daripada hukuman daripada pengawal perlumbaan ketika Grand Prix (GP) Russia dua minggu lalu, apabila dikatakan sengaja mencetus gerakan yang menyebabkan dia hampir bertembung dengan Lewis Hamilton.

Pelumba Jerman itu memintas pesaing utamanya, selepas Marcedes memanggil pelumba mereka memasuki hentian pit.

Namun, apabila Hamilton cuba untuk merampas kembali kedudukan pendahulu ketika selekoh kedua, Vettel dikatakan bergerak dua kali menghalang dan menutup ruang sehingga menyebabkan pelumba Britain itu berang.

Hamilton kemudian berjaya memintas Vettel, seterusnya memenangi perlumbaan dengan rakan pasukan, Valtteri Bottas membuka ruang untuk rakannya itu mengambil alih kedudukan di hadapan.

Whiting mendedahkan, Vettel perlu mengatur strategi baharu jika harapannya untuk bergelar juara dunia mungkin sudah berakhir, berikutan tidak berpuas hati dengan keputusan pengawal perlumbaan.

"Peraturan mengenai dua pergerakan secara tradisinya adalah untuk bergerak ke satu arah dan kemudiannya bertukar ke arah yang lain," kata Whiting.

"Saya merasakan semua orang faham akan peraturan itu, namun saya perlu katakan ketika kali pertama saya melihat insiden perlumbaan di Russia, saya fikir yang sama: Dia (Vettel) bergerak ke arah yang sama dua kali dari arah posisi Lewis.

"Namun, jika anda melihat daripada kedudukan kamera trek dan daripada arah depan, apabila mereka datang ke arah anda, ia sangat jelas: ia kelihatan seperti satu pergerakan yang teragak-agak. 

"Ia tidak kelihatan seperti dua pergerakan yang berbeza dan sebab itulah pengawal berasakan mereka tidak boleh mengenakan penalti."

Whiting percaya Vettel bernasib baik terlepas daripada hukuman di Sochi. - AGENSI

 

594 dibaca
Berita Harian X