Sabtu, 15 September 2018 | 12:43am
AKSI Pemandu Formula Satu (F1) Ferrari, Kimi Raikkonen pada sesi latihan bebas kedua Grand Prix (GP) Singapura. - Foto AFP

Raikkonen laung amaran

SINGAPURA: Pemandu Formula Satu (F1) Ferrari, Kimi Raikkonen mencatat masa terpantas sesi latihan bebas kedua Grand Prix (GP) Singapura, namun rakan sepasukan Sebastian Vettel terpaksa menamatkan sesi lebih awal selepas melanggar tembok penghadang. 

Raikkonen yang akan meninggalkan Ferrari untuk menyertai pasukan Sauber musim depan, mencatat masa terpantas 1 minit 38.699 saat (s). 

Pendahulu kejuaraan yang juga juara dunia Lewis Hamilton dari Mercedes hanya ketinggalan 0.11s untuk mencatatkan masa kedua terpantas menggunakan tayar lembut. 

Mercedes yang kebiasaannya bergelut untuk mencari kepantasan di Singapura, tidak menggunakan set tayar itu pada sesi pertama yang menyaksikan Hamilton sekadar mencatat masa keenam terpantas.

Pemandu Red Bull, Max Verstappen ketiga terpantas. 

Vettel mencatat masa kesembilan terpantas terpaksa kembali ke pit selepas mengalami masalah hidraulik yang menyaksikannya melanggar tembok penghadang sekali gus menyaksikannya gagal meneruskan sesi latihan bebas ketika berbaki 40 minit. 

Pemandu Jerman yang ketinggalan 30 mata di belakang Hamilton, hanya dapat melakukan 11 pusingan. 

Rakan sepasukan Hamilton, Valtteri Bottas kelima terpantas di belakang seorang lagi pemandu Red Bull, Daniel Ricciardo di tempat keempat sementara Carlos Sainz (Renault) keenam terpantas. - AFP

414 dibaca
Berita Harian X