Rabu, 16 Mei 2018 | 5:22pm
ADAM NORRODIN

Adam tekad kutip mata di Le Mans

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara, Adam Norrodin yakin dengan kemampuan jenteranya menjelang Grand Prix (GP) Perancis di Sirkit Le Mans bermula Jumaat ini.

Adam yang tidak mengutip sebarang mata sejak GP Amerika Syarikat, 22 April lalu berkata, dia kini semakin selesa dengan jentera Honda ditunggangnya dan mahu menamatkan saingan dalam kelompok 15 yang menjanjikan kutipan mata di Le Mans, kali ini.

"Le Mans adalah trek yang hebat," kata pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Racing itu. "Saya mempunyai keyakinan di sana.

"Tahun ini saya rasa lebih kuat bukan saja diri sendiri malah motosikal. Di Le Mans, kamu perlu mempunyai kekuatan daripada sudut brek dan untuk kali ini saya sangat yakin dengan jentera.

"Selepas perlumbaan di Jerez, saya berlatih dengan gigih di Sepanyol, kami banyak melakukan latihan. Jadi saya harap dapat melakukan peningkatan dalam perlumbaan dan cuba memperbaiki keputusan minggu ini.

"Saya mahu mengumpul mata semula di Le Mans, ini adalah satu keutamaan. Saya harus berusaha dan berada di penamat yang lebih baik."

Adam ketika ini mengumpul 16 mata untuk berada di tangga ke-16 keseluruhan manakala rakan sepasukannya dari Jepun, Ayumu Sasaki berada satu anak tangga di depan dengan 17 mata.

172 dibaca
Berita Harian X