Rabu, 14 March 2018 | 8:04pm
PELUMBA SIC Racing Team, Zulfahmi Khairuddin ketika sesi latihan di Litar Jerez. - Foto Email

Misi Zulfahmi di Losail

KUALA LUMPUR: Zulfahmi Khairuddin mempunyai misi tersendiri pada saingan pembuka tirai Perlumbaan Motosikal Dunia di Grand Prix Qatar, hujung minggu ini.

Penunggang berusia 26 tahun itu diberikan peluang baharu apabila menandatangani perjanjian dengan SIC Racing Team sebagai pengganti Hafizh Syahrin Abdullah dalam saingan Moto2 apabila Hafizh menyertai pasukan MotoGP, Monster Yamaha Tech3.

Zulfahmi yang pernah menjadi prospek utama pelumba negara, berazam mencipta impak positif pada kemunculan pertama Moto2 di Litar Antarabangsa Losail.

"Untuk Qatar sasarannya jelas, saya mahu mengumpul mata pada perlumbaan pertama Moto2. Untuk melakukannya saya mesti berada dalam posisi yang bagus sejak latihan pertama. Saya mahu menjadi kompetitif sejak mula," kata pelumba kelahiran Banting itu.

"Saya amat suka litar Qatar, lakarannya memang sesuai dengan gaya tunggangan saya. Ada banyak selekoh pantas. Saya harap ini akan memberikan saya sedikit kelebihan dan membantu saya cepat mendapat kelajuan. 

"Latihan dan kelayakan akan menjadi sesuatu yang sangat penting hujung minggu ini, jika saya boleh lakukan, saya boleh bertarung dengan bagus."

SIC menjangkakan perubahan peranan Zulfahmi selaku mentor program pencarian bakat 'Impian ke MotoGP' tahun ini sehingga pemergian mengejut Hafizh memberi laluan buat Zulfahmi kembali berlumba pada kejuaraan dunia.

Namun selepas lambat dipanggil, Zulfahmi kurang memiliki kelebihan berbanding rakan sepasukan baharu Moto2 ketika dia hanya berupaya melakukan tiga ujian sebelum permulaan musim di Valencia dan Sepang bulan lalu serta Jerez minggu lalu. 

Ujian di Valencia dan Jerez juga terganggu akibat cuaca buruk. 

Keputusan ujian juga tidak begitu bagus dengan penamat ke-28 daripada 30 penunggang di Jerez dengan catatan masa satu minit 44.476 saat.

Zulfahmi menghabiskan dua musim (2016-2017) bersaing dalam Kejuaraan Superbike Dunia (kelas supersports). Dia sebelum itu bersaing selama enam musim (2010-2015) dalam kelas 125CC dan Moto3 pada Kejuaraan Motosikal Dunia.

655 dibaca
Berita Harian X