Rabu, 10 Januari 2018 | 11:10pm
BEKAS pelumba Moto3, Zulfahmi Khairuddin yakin pemilihan dibuat secara adil dan telus. - Foto Osman Adnan

Pemilihan tak berat sebelah: Zulfahmi

SEPANG: Bekas pelumba Moto3, Zulfahmi Khairuddin memberi jaminan tidak akan berlaku pengadilan berat sebelah dalam pemilihan program Impian ke MotoGP di Litar Sepang hujung minggu ini.

Zulfahmi yang kini pelumba SuperSports dalam Kejuaraan Superbike Dunia berkata, pemilihan akan dibuat secara adil dan telus yang mana pelumba akan dinilai menerusi catatan masa sepusingan, teknik tunggangan serta tahap fizikal dan kecergasan mereka.

Sejumlah 40 pelumba berusia 13 hingga 15 tahun disenarai pendek untuk pemilihan itu daripada 300 peserta yang memohon.

Dua pelumba terbaik akan menyertai Kejuaraan Remaja Dunia CEV Moto3, Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) dan Kejuaraan Superbike Malaysia sepanjang musim ini serta dibiayai sepenuhnya SIC.

Pelumba yang berada di ranking ketiga hingga kelima akan dihantar menyertai Kejohanan Cub Prix Malaysia.

"Ya, saya mengenali beberapa pelumba (dalam kalangan 40 disenarai pendek). Ia tidak boleh dielak kerana industri sukan permotoran di Malaysia agak kecil," kata Zulfahmi yang mengetuai panel pemilihan bersama bekas pelumba ARRC, Ahmad Zamani Baharudin.

"Bagaimanapun saya memberi jaminan tidak akan berlaku pengadilan berat sebelah. Saya sedia menunjukkan kepada semua bagaimana kami memilih pelumba. Kami tahu apa yang kami mahukan.

"Pelumba akan dinilai menerusi catatan masa sepusingan, gaya tunggangan dan kecergasan mereka. Pelumba berpengalaman akan tahu bila melihat seorang pelumba yang pantas."

516 dibaca
Berita Harian X