Jumaat, 5 Januari 2018 | 9:50pm
INISIATIF Litar Antarabangsa Sepang (SIC) anjur program Impian Ke MotoGP cari bakat muda dalam arena dua roda. - Foto fail

Peluang terbaik ke peringkat antarabangsa: Ahmad Zamani

KUALA LUMPUR: Inisiatif mencungkil bakat tempatan dua roda dalam program Impian Ke MotoGP anjuran Litar Antarabangsa Sepang (SIC) disifatkan medan terbaik melahirkan lebih ramai pelumba negara lebih berkualiti.

Bagi bekas pelumba negara, Ahmad Zamani Baharudin yang terbabit dalam pemilihan dan sesi ujian terhadap peserta terpilih untuk program ini, platform disediakan SIC itu sebagai batu loncatan berguna buat generasi muda.

"Ini adalah pentas terbaik untuk pelumba yang ada cita-cita mengangkat kedudukan mereka ke peringkat antarabangsa," katanya yang memikul tugasan berkenaan bersama Zulfahmi Khairuddin.

"Saya percaya, kita akan dapat melihat lebih ramai pelumba berkualiti dapat dilahirkan menerusi inisiatif sebegini."

Sebaik saja pendaftaran ditutup 31 Disember lalu, SIC menerima kira-kira 300 penyertaan dan saringan seterusnya dijadual berlangsung pada 13 dan 14 Januari ini di trek go kart SIC.

Daripada jumlah itu, lima calon terbaik akan menjalani beberapa siri ujian menggunakan jentera 250cc dan Honda NSF250RR.

Sebaik saja pemilihan, dua pelumba terbaik - daripada pasukan elit remaja - akan beraksi sama ada di Kejuaraan Motosikal Sepanyol (CEV) ataupun Kejuaraan Motosikal Remaja Dunia yang dijadual membuka tirainya di Estoril, Portugal, Mac ini.

Bakinya akan menyertai dua siri kejuaraan - Kejuaraan Cub Prix dalam kelas Wira dan Piala KTM RC390 Asia sebelum diberikan ruang ke peringkat antarabangsa pada tahun berikutnya.

Kesemua lima pelumba terpilih ini bakal mengikuti program sehingga tiga tahun.

437 dibaca
Berita Harian X