Jumaat, 13 Oktober 2017 | 8:18pm
PELUMBA PETRONAS Raceline, Hafizh Syahrin Abdullah catat masa memberangsangkan pada sesi latihan Moto2 GP Jepun, hari ini.

Hujan bantu Hafizh Syahrin

KUALA LUMPUR: Hafizh Syahrin Abdullah membuktikan dia pakar litar basah apabila mencatat masa memberangsangkan pada sesi latihan pembukaan Moto2 Grand Prix (GP) Jepun, hari ini.

Pelumba PETRONAS Raceline itu menamatkan sesi latihan pertama di litar Twin Ring Motegi di tempat ketiga secara keseluruhan selepas mencatat masa 2 minit 6.201 saat (s) dan 2:06.629s pada sesi kedua untuk menduduki tempat keenam terpantas.

Hafizh yang kini berada di tangga ke-11 keseluruhan dengan mengumpul 66 mata berkata, beliau gembira dengan prestasinya memandangkan keadaan litar yang mencabar.

"Keadaan trek sangat rumit kerana hujan sejak awal pagi dengan permukaan litar basah, namun masih ada cengkaman yang bagus," kata Hafizh.

"Hujan berterusan pada waktu petang menambahkan lagi kesukaran buat pelumba. Keadaan yang berbahaya menjadikannya sukar untuk semua orang menambah kelajuan, tetapi saya mengekalkan kelajuan seperti biasa. Begitupun, saya tetap berhati-hati supaya tidak terjatuh.

"Keputusan ini cukup baik buat kami. Apa yang harus dilakukan selepas ini, saya cuma perlu kekalkan momentum untuk mencapai misi pasukan berada di petak hadapan," katanya.

Bagaimanapun, kecemerlangan Hafizh itu gagal diteruskan seorang lagi pelumba negara dari pasukan Idemitsu Honda Team Asia, Khairul Idham Pawi apabila sekadar menamatkan saingan di posisi ke-31 pada sesi pertama (2:09.836s) dan kedudukan ke-24 (2:08.107s) sesi kedua.

Dalam Moto3, Adam Norrodin turut mempamerkan belang tersendiri apabila menamatkan perlumbaan pada sesi pertama di tangga ketujuh terpantas (2:11.105s) sebelum mengakhiri sesi kedua di tempat ke-26 (2:14.298s).

"Kami mempunyai sesi pertama yang baik dan membuat banyak kemajuan, saya terus memaksa diri untuk melihat sejauh mana saya boleh pergi dan pada akhirnya kami selesai sesi di posisi ketujuh," kata pelumba Team Racing Racing itu.

"Dalam sesi latihan kedua keadaannya agak berbeza, walaupun ia masih basah dan saya dapat merasakan bahawa cengkaman itu kurang dari sebelumnya. Saya cuba bertenang tapi kemudian di pusingan terakhir saya membuat kesilapan.

"Mekanik saya melakukan kerja yang baik kepada jentera dan kami akan cuba bangkit semula esok," katanya.

1664 dibaca
Berita Harian X