Khamis, 12 Oktober 2017 | 8:34pm
PENUNGGANG PETRONAS, Kasma Daniel Kasmayudin diberikan tiket wildcard bagi kategori Moto3 pada perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) dari 27 hingga 29 Oktober ini. - Foto AGENSI

Kasma Daniel dapat tiket wildcard Moto3

KUALA LUMPUR: Sepang International Circuit (SIC) mengesahkan penunggang berbakat besar, Kasma Daniel Kasmayudin diberikan tiket wildcard bagi kategori Moto3 pada perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) dari 27 hingga 29 Oktober ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali berkata, ia peluang yang bagus buat penunggang PETRONAS itu yang juga bersaing pada Moto3 Kejuaraan Remaja Dunia CEV, Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) dan juga siri Cub Prix Malaysia AAM PETRONAS tahun ini.

"Kami gembira mengumumkan Kasma Daniel disahkan memperoleh tiket wildcard dan akan berlumba dengan PERTRONAS di Sepang," kata Razlan.

"Saya dengar banyak perkara mengenainya dalam Cub Prix dan ARRC.

"Bagaimanapun, hanya kerana anda bagus di Cub Prix atau ARRC, itu tidak bermakna anda akan bagus di Moto3, ia amat berlainan dan satu langkah yang besar buatnya.

"Ia peluang baginya untuk mengukur kemampuan diri menentang pelumba lain di kejohanan dunia dan memperoleh pengalaman di tahap tertinggi."

Kasma kini mendahului dalam kelas CP150 di siri Cub Prix Malaysia dan berada di kedudukan ke-29 daripada 37 penunggang di CEV, yang mana dia memperoleh mata tunggal di Estoril, Julai lalu.

328 dibaca
Berita Harian X