Khamis, 12 Oktober 2017 | 6:12pm
MOHD Zaqhwan Zaidi harap dapat mengulangi kejayaan musim lalu apabila berjaya menakluk litar di Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan pada Sabtu dan Ahad ini. - Foto AGENSI

Zaqhwan harap tuah Litar Jempol

KUALA LUMPUR: Mohd Zaqhwan Zaidi enggan mengalah meskipun saingan kategori CP150 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim 2017 masih belum memihak kepada dirinya selepas kali terakhir menaiki podium di perlumbaan pusingan pertama di Temerloh, Pahang, Mac lalu.

Menjelang pusingan kelapan yang akan berlangsung di Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan pada Sabtu dan Ahad ini, pelumba pasukan Givi Honda Yuzy Racing itu yang diletakkan sebagai pelumba pilihan untuk bersaing merebut kejuaraan pada awal musim, optimis mereka masih mampu untuk berada di kelompok hadapan dalam baki tiga pusingan perlumbaan terakhir sebelum saingan musim 2017 melabuhkan tirainya, bulan depan.

"Banyak yang memperkatakan tentang kemampuan kami pada musim ini. Ia, memang tak dinafikan, situasi ketika ini tidak begitu memihak kepada kami, namun kami bukan hanya berdiam diri tanpa melakukan apa-apa untuk mendapatkan jentera yang lebih baik.

Pasukan terus berusaha untuk mendapatkan jentera yang mampu memberikan saingan kepada pasukan lain," jelas juara keseluruhan CP130 musim 2014 ini.

Menurut Zaqhwan, dia berharap mampu mengulangi kejayaan musim lalu apabila berjaya menakluk litar berkenaan.

"Litar Jempol antara litar kegemaran saya. Tahun lalu saya menang di sini, namun untuk mengulanginya pada tahun ini, mungkin sukar tetapi bukan bermaksud saya menyerah kalah begitu sahaja.

"Saya akan cuba berikan yang terbaik dan menyasarkan penamat dalam kelompok lima pelumba terbaik. Satu bonus tambahan jika dapat naik ke podium," kata Zaqhwan.

Selepas tujuh pusingan, Zaqhwan berada di tangga ke-11 keseluruhan dengan 35 mata manakala Kasma Daniel Kasmayudin (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) di tangga teratas dengan 125 mata.

61 dibaca
Berita Harian X