Ahad, 8 Oktober 2017 | 7:32pm
KEJUARAAN Motosikal Asia (ARRC) bakal dihangatkan lagi dengan penyertaan sirkit baharu di Australia bermula tahun depan. - Foto Email

Sirkit Australia sertai kalendar ARRC

KUALA LUMPUR: Kalendar Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) bakal dihangatkan lagi dengan penyertaan sirkit baharu di Australia bermula tahun depan.

Perlumbaan tambahan itu dijadual diadakan di The Bend Motorsport Park yang terletak di Selatan Australia, berhampiran bandar Tailem Bend dan 100km dari Adelaide.

Litar sepanjang 7.7 kilometer (km) itu dijangka siap sepenuhnya pada awal tahun depan dan ARRC akan menjadi perlumbaan benua pertama yang dianjurkan di sirkit berkenaan.

"Menerusi kerjasama dengan The Bend, kami berharap dapat membina hubungan kerjasama yang mampu memberi manfaat buat industri permotoran di Asia dan Australia," kata Pengarah Two Wheels Motor Racing dan promoter perlumbaan ARRC, Ron Hogg menerusi laman rasmi ARRC, hari ini.

Ketika ini ARRC menampilkan enam pusingan di rantau Asia membabitkan Malaysia, Thailand, Jepun dan Indonesia.

Empat kelas perlumbaan dipertandingkan dan diterajui oleh kelas Supersports 600cc.

Musim 2017 kini berbaki satu pusingan saja lagi di Sirkit Buriram, Thailand pada awal Disember ini.

207 dibaca
Berita Harian X